Cari cara galak umat Islam ke masjid

0

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee menggesa semua ahli jawatankuasa masjid dan surau di sini agar mencari cara bagi menggalakkan umat Islam bertandang ke masjid dan surau untuk berjemaah beramai-ramai.

Katanya surau dan masjid bukan tempat untuk sembahyang sahaja tetapi banyak tujuan lain.

“Adalah menjadi tugas jawatankuasa surau dan masjid mencari cara menggalakkan masyarakat datang ke surau atau masjid,” katanya pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Tafaqquh dan Transformasi Masjid & Surau di Dewan LAKIS di sini kelmarin.

Lebih 60 peserta daripada kalangan ahli jawatankuasa surau dan masjid menghadiri kursus dua hari itu.

Dr Annuar turut berasa sedih melihat keadaan surau atau masjid yang hanya dihadiri beberapa orang jemaah sahaja ketika waktu solat Subuh semasa beliau melawat salah sebuah surau di sini.

Tambahnya, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama-sama bagi mengukuhkan institusi agama di sini.

“Ia tidak boleh dilakukan AJK masjid dan surau semata-mata kerana kita perlu kerjasama pemimpin masyarakat Islam dan paling penting kita mesti melakukan rangkaian institusi agama,” katanya.

Kursus anjuran bersama Lembaga Kebajikan Islam Sarawak (LAKIS) Sibu dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu melibatkan 23 surau dan masjid di sini.

Turut hadir Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce, Pemanca Sharifah Mariam Syed Junaidi, pengerusi pengelola Hussain Abdul Rasit dan wakil JAIS.