Penduduk gesa MBM selesai masalah longkang tersumbat

0

MIRI: Penduduk Taman Desa Senadin Fasa 1 menggesa Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyelesaikan masalah longkang tersumbat di kawasan berkenaan bagi mengelakkan ia menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Pesuruhjaya PAS III, Jofri Jaraiee berkata, tindakan segera perlu berikutan longkang di kawasan perumahan itu telah tersumbat.

“Perkara ini telah lama berlaku. Demi keselamatan penduduk setempat, MBM disarankan turun padang membersih longkang tersumbat bagi mengelak risiko pembiakan nyamuk aedes,” katanya di sini semalam.

Beliau memberitahu, masalah sama turut berlaku di kawasan longkang Pujut 3 iaitu lokasi tidak jauh dari Tadika SeDIDIK Sungai Adong apabila kawasan itu dipenuhi semak dan air bertakung.

“Kita tidak mahu kanak-kanak belajar di situ terkena jangkitan demam denggi malah kawasan sekitarnya juga kotor dan bersemak-samun. Ia pasti menjejaskan kesihatan mereka,” jelasnya.

Bahkan katanya, usaha membendung dan mengawal jangkitan demam denggi harus dipergiat dengan kerjasama semua penduduk menerusi kempen menjaga kebersihan sekitar kediaman masing-masing.

“Walaupun kes demam denggi menurun, pihak bertanggungjawab perlu memantau keadaan sekitar taman perumahan yang berdepan masalah perparitan dan sampah yang tidak diselenggara dengan betul,” jelasnya.

PAS juga katanya, menggesa proses penyelenggaraan longkang tersumbat sepanjang jalan utama dalam kawasan perumahan itu segera ditangani.

“Jangan biarkan perkara ini berlarutan kerana penduduk tinggal di kawasan perumahan terbabit berisiko menghidapi demam denggi dan kesihatan mudah terjejas,” jelasnya.