Miri aktif anjur Kempen Derma Darah sejak 25 tahun lalu

0

MIRI: Miri merupakan antara bandar raya aktif dalam menganjurkan Kempen Derma Darah sejak 25 tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Geoge Chan berkata dalam tempoh 25 tahun lalu, lebih 30,000 mendaftar sebagai penderma darah dan 1,000 penderma aktif.

“Miri adalah antara bandar raya terawal menganjurkan Kempen Derma Darah jika dibandingkan dengan 62 negara di seluruh dunia,” katanya pada Majlis Makan Malam Blood Donor’s Night 2014 di sini malam kelmarin.

Menurut Chan, Miri telah berjaya mengumpul lebih 7,000 pain darah pada setiap tahun sejak 2010.

Katanya aktiviti itu bukan sahaja melambangkan keprihatinan masyarakat terhadap mereka yang memerlukan serta membantu menyelamatkan nyawa malah usaha yang sangat mulia.

“Aktiviti ini mampu meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan membantu dan menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan khususnya pada waktu kecemasan.

“Secara tidak langsung aktiviti tersebut dapat mewujudkan semangat kerjasama di kalangan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Derma Darah PBSM Dr Roland Mattu berterima kasih kepada Dr Chan yang menyumbang RM12,000 kepada PBSM untuk membeli kenderaan bagi tujuan menjayakan aktiviti itu.

“Kami berjaya mengumpul RM89,000 melalui sumbangan orang awam dan menyasarkan dalam tempoh dua tahun untuk memiliki kenderaan bagi menjalankan aktiviti Kempen Derma Darah bergerak,” katanya.