AADK perlu kerjasama pantau masalah dadah, kata Suridah

0

SIBU: Seramai 97 orang yang terlibat dengan penagihan dadah kini diletak di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah sibu.

Ketua AADK Daerah Sibu Suridah Saadi berkata, jumlah itu tidak termasuk penghuni pusat pemulihan atau mereka yang tidak diketahui ada terlibat dengan penagihan dadah.

“Statistik AADK Daerah Sibu pada tahun ini menunjukkan 97 orang terlibat penagihan dadah kini dalam pengawasan AADK,” katanya kepada pemberita, semalam.

Suridah berkata demikian selepas Program DADAH (Drugs Are Dangerous And Hazardous) di Sungai Merah.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Pelawan Kapitan Datuk Janet Lau.

Menurut Suridah, jumlah penagih berada di bawah pengawasan ADDK Sibu menunjukkan sedikit peningkatan iaitu sekitar 10 orang berbanding tahun lepas.

“Penagih termuda di bawah pengawasan kami ialah 16 tahun sementara yang paling tua berusia lebih 50 tahun,” katanya.

Ditanya sama ada masalah dadah di  Sibu serius atau terkawal, beliau tidak pasti memandangkan AADK tidak mempunyai data sebenar.

Ini kerana katanya, kebanyakan penagih ditahan polis di bawah Seksyen 15, Akta Dadah Berbahaya 1952, tidak dirujuk kepada pihak AADK.

“Kadang-kadang mereka yang ditahan mengambil dadah, pada masa sama ada memiliki dadah. Oleh itu,  polis mengambil tindakan ke atas kes yang lebih berat.

“Jadi kita tidak ada data tepat melainkan kita bergabung dengan polis, baharu kita ada data tepat berhubung kes dadah di Sibu,” jelas Suridah.

Jelasnya, penagih dadah tidak mengira bangsa, keturunan atau jantina tetapi ia melibatkan semua peringkat yang memerlukan kerjasama menyeluruh masyarakat setempat.