Bumiputera harus jadi usahawan berjaya

0

Peniaga kecil perlu kikis perasaan malu, berkembang jadi perniagaan besar: Simoi

Lambai  SRI AMAN: Kaum Bumiputera di negeri ini digesa supaya tidak malu menceburkan diri dalam bidang perniagaan sehingga menjadi usahawan berjaya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.

Menurutnya, sesetengah kaum Bumiputera malu mencebur diri dalam bidang perniagaan malah ramai menganggap kerjaya peniaga sebagai penjana pendapatan sampingan sahaja. “Kita seharusnya menepis pemikiran rasa malu itu jauh-jauh. Jika kita tidak mengorak langkah bermula sekarang, kita akan ketinggalan berbanding kaum bukan Bumiputera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Program Titian Wanita Bestari dan Program Pengupayaan dan Pemerkasaan Wanita (PPEW) 2014 anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), MAKSAK Wanita Bahagian Sri Aman dan Skuad Elite Jiran Wanita bertempat di Dewan Suarah dekat sini pagi semalam.

Katanya, banyak contoh boleh lihat apabila ramai kaum bukan Bumiputera maju dalam bidang perniagaan dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan malah mampu mengembangnya menjadi sebuah perniagaan besar. “Oleh itu, kita harus mengambil contoh mereka yang maju sebagai inspirasi atau teladan.

Jangan sesekali berasa malu atau malas untuk berniaga. “ Banyak peluang berniaga di mana-masa sahaja asalkan kita mempunyai satu azam untuk bersaing dengan usahawan yang telah lama berjaya,” jelasnya.

Tambahnya lagi,  mereka yang mempunyai perniagaan kecil-kecilan di peringkat kampung mampu bergerak  maju ke hadapan. Jelasnya, usahawan kecil  ini boleh memohon peruntukan kerajaan melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUN termasuk agensi perbankan lain memperkembang modal perniagaan masing-masing. “Seperti yang  saya kata tadi, inilah peluang peniaga kecil-kecilan di kampung memperbesar perniagaan masing-masing.

Jangan  fikir mereka tidak mampu berjaya seperti usahawan ternama,” katanya lanjut. Menurut Simoi lagi, kerajaan menyediakan sebanyak 2.5 juta peluang pekerjaan di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sehingga menjelangnya tahun 2030. “Saya menggesa generasi muda kita agar merebut peluang dengan menceburi pelbagai bidang bukan setakat bidang perniagaan malah bidang lain yang boleh  memajukan negeri.

“Guna segala peluang  ada yang telah disediakan oleh kerajaan untuk mempertingkat taraf hidup kita,” tegasnya lanjut. Hadir sama pada program berkenaan, Wali Kota MDSA Richard Tawan Sedu, Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman Latifah Attong, Penolong Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Residen Bahagian Sri Aman Noor Hayati Ahmad, Penolong Setiausaha MDSA Tommy Laman, Penolong Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Sri Aman Margaret Lajan serta Pemanca Mas Shamsiah Maslem. Objektif utama program ialah menjadi sebahagian besar strategi utama mempertingkat status ekonomi wanita dan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

Ia juga bermotif untuk memperkasa latihan kemahiran dan pengetahuan kepada  wanita agar mampu menjana pendapatan serta meningkat kualiti hidup berbekal kemahiran  termasuk pengetahuan baharu.

Dalam pada itu,  program berkenaan turut dimeriah dengan Pertandingan Wanita Anggun, Persembahan Nyanyian, Fashion Show serta cabutan bertuah.