Tingkatkan kecekapan, daya saing

0

Pemimpin masyarakat perlu pastikan kejayaan program kemasyarakatan

Oleh Kelvin Lambai //

SRI AMAN: Barisan pemimpin masyarakat dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk Rukun Tetangga digesa supaya meningkatkan kecekapan dan produktiviti dalam menjalankan program kemasyarakatan.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Datuk Francis Harden Hollis berkata, kecekapan program kemasyarakatan itu membantu meningkat daya saing membangunkan modal insan berguna kepada pembangunan masa depan negara.

“Semua  usaha yang sedang dilakukan kerajaan tidak akan mencapai hasil jika rakyat tidak bersatu padu dan bekerjasama. Kita perlu berbangga dengan keunikan negeri  ini yang mempunyai rakyat dan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Rumah Terbuka Krismas anjuran JKKK Rumah Brandah Renggi, Tanjung Ritang di sini, pagi semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, penduduk negeri ini sudah membuktikan kekuatan perpaduan dengan wujudnya perkongsian meraikan pelbagai perayaan.

“ Kita dapat hidup dengan aman dan makmur kerana sentiasa mengamal permuafakatan dan perkongsian kuasa dalam kalangan rakyat berbilang bangsa. Permuafakatan ini perlu dipertingkat dari semasa ke semasa dan harus diserap ke segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Harden menjelaskan, rakyat jangan menganggap perpaduan sebagai perkara kecil dan yakin ia kekal tanpa ada usaha untuk memperjuangkannya.

“Ingatlah, perpaduan kita capai hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu. Mereka tidak pernah kenal erti penat lelah memperjuang   kemerdekaan seterusnya mengekal kemerdekaan itu dengan memastikan perpaduan kaum terus terpelihara.

“Jangan sesekali kita leka dengan kesenangan ini. Jangan kita lupa bahawa kita perlu sentiasa memelihara perpaduan dan semangat muhibah hari ini,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis berkenaan isteri beliau Datin Simba Nallang, Kaunselor Waterkiller James Junit, ketua masyarakat serta ahli JKKK yang lain.

Pada majlis berkenaan, Harden turut mengumumkan peruntukan geran MRP 2015 berjumlah RM8,000 kepada JKKK rumah panjang ini untuk tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun baharu.