Pesara Cawangan Sibu serah kunci bangunan lama kepada Pejabat Residen

0

SIBU: Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Sarawak (Pesara) Cawangan Sibu menyerahkan kunci bangunan lama mereka kepada Pejabat Residen Bahagian Sibu, kelmarin.

Kunci lama itu diserahkan Pengerusi Pesara Sibu Awang Ali Basah Pengiran Kerta kepada Timbalan Residen Sibu Dr Zufar Yadi Brendan pada suatu majlis ringkas di sini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Pesara Sibu Hamden Led, Setiausaha Pesara Sibu Elis Rumbi dan Bendahari Pesara Sibu Majidi Bohari.

Semasa ditemui, Awang Ali berkata Pesara Sibu menggunakan pejabat lama mereka di Jalan Awang Ramli Amit sejak 10 tahun lalu.

“Sekarang Pesara Sibu mempunyai bangunan baharu yang akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee pada 17 Januari ini, jam 9 pagi.

“Tempat baharu kami di Simpang Tiga, Jalan Kampung Hilir dan tanah itu adalah hasil sumbangan kerajaan negeri yang prihatin terhadap kebajikan para pesara,” jelasnya.

Awang Ali berkata majlis pecah tanah bangunan Pesara Sibu dahulu disempurnakan bekas ADUN Nangka Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah sekitar Mac 2011.