Usah kecil hati lewat dilantik ketua masyarakat

0

Proses pelantikan mengambil masa dan sangat rumit kerana ia membabitkan pelbagai agensi: Dennis

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

MIRI: Kelewatan pelantikan ketua masyarakat tidak harus dijadikan satu isu besar sehingga ada yang berkecil hati kerana lambat dilantik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok berkata, proses pelantikan mengambil masa dan sangat rumit kerana ia membabitkan pelbagai agensi.

“Jangan terus berkecil hati dengan sedikit kelewatan pelantikan kerana proses lantikan memakan masa,” katanya dalam satu Majlis Penyerahan Sijil Perlantikan dan Lanjutan Ketua Kampung di Telang Usan bertempat di Pejabat Residen Miri pagi semalam.

Menurutnya, proses lantikan memakan masa kerana memastikan ketua kampung yang dipilih adalah layak, berkualiti dan telus dalam memenuhi kriteria sebagai pemimpin masyarakat.

Beliau memberitahu bahawa tugas ketua kampung ialah memperkukuhkan komuniti masyarakat di peringkat kampung.

“Hubungan harus dijaga di peringkat kampung terutama dalam menjadi jambatan penghubung penduduk dengan kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memuji usaha beberapa penduduk Kampung Tanjung Tepalit yang datang melihat ketua kampung baharu menerima sijil pelantikan.

“Ini membawa kemajuan dan perubahan positif terhadap kampung. Ia harus dicontohi kampung lain,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 13 ketua kampung menerima sijil pelantikan semula manakala seorang ketua kampung menerima sijil perlantikan baharu.

Turut hadir pada majlis adalah Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau, Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie, Ketua Masyarakat Orang Ulu Baram Temenggong Joseph Ngau Lian dan Temenggung Elizabeth Deng serta Timbalan Residen Miri Emang Oyo Emang.