Semua ketua masyarakat sama taraf, kata Dennis

0

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

Tidak wujud kelas kedua dalam ketua masyarakat yang dilantik daripada pelbagai kaum di negeri ini

MIRI: Tidak wujud kelas kedua dalam ketua masyarakat yang dilantik daripada pelbagai kaum di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata jawatan dan tanggungjawab adalah sama bagi setiap ketua masyarakat walaupun kaum Penan.

“Semua ketua masyarakat tanggungjawabnya adalah sama, tidak mengira asal-usul dan bangsa mereka yang dilantik,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Ketua Masyarakat Baram di sini kelmarin.

Menurutnya, kini Baram secara keseluruhannya mempunyai tujuh penghulu dan seorang pemanca yang dilantik secara rasmi daripada suku kaum Penan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa jawatan yang disandang itu bukanlah untuk mengukur populariti seseorang atau sesebuah suku kaum.

“Bukan untuk ‘glamour’, sebab anda ada tanggungjawab yang perlu dipikul dan dilakukan bukan hanya sekadar jawatan sahaja,” jelasnya.

Ketua-ketua kaum dan masyarakat juga diingatkan sentiasa mempertingkatkan pengetahuan masing-masing dalam apa juga perkara terutama di peringkat pentadbiran kerana ia adalah salah satu sebab mereka dilantik.

Dennis turut menasihati ketua-ketua kaum agar membantu menyelesaikan pelbagai perkara terutama di peringkat jajahan masing-masing.

“Anda diberikan tugas dan amanah cukup besar, tinggi dan terhormat, laksanakanlah tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

Turut hadir Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong dan Timbalan Residen Miri Emang Oyo, Ketua Masyarakat Baram Temenggung Elizabeth Deng, Pemanca Joseph Ngau Lian serta Temenggung Datuk Hasan Sui.