SUPP akan pertahan 19 kerusi DUN pada PRN

0

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan mempertahankan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, tegas Presidennya Senator Datuk Prof Dr Sim Kui Hian.

Sembilan belas kerusi tersebut ialah Opar, Padungan, Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Batu Kawa, Bengoh, Simanggang, Engkilili, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Kidurong, Piasau, Pujut dan Senadin.

Bagaimanapun, empat daripada kerusi Opar, Engkilili, Bawang Assan dan Bengoh yang dimenangi atas tiket SUPP kini dimiliki oleh UPP selepas penyandangnya keluar parti dan membentuk Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Malah, jika cadangan 11 kerusi DUN baharu diluluskan, sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) kedua terbesar di Sarawak, SUPP wajar mendapat bahagiannya seperti parti-parti komponen yang lain, menurut Dr Sim.

“Daripada 19 kerusi yang diperuntukkan kepada SUPP, 11 daripadanya sudah hampir dalam genggaman kami dan kami akan pastikan kesemua kerusi ini akan menjadi milik SUPP semula.

“Malah jika 11 kerusi baharu yang dicadangkan pengwujudannya itu diluluskan nanti, saya sebagai Presiden yakin kepimpinan BN akan membuat pengagihan yang adil kepada semua komponen parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada rumah terbuka hari pertama Tahun Baharu Cina (TBC) SUPP di ibu pejabat parti di sini, Khamis lepas.

Ditanya mengenai sokongan kaum Cina terhadap kerajaan BN di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Dr Sim berkata sokongan kaum ini masih kuat malah lebih meningkat.

Ini kerana menurut Dr Sim, banyak polisi yang diperkenalkan oleh Adenan mencerminkan kesaksamaan antara kaum Cina dan lain-lain kaum di Sarawak.

Lebih penting, menurut Dr Sim, semua rakyat menerima layanan yang sama rata dan diberi peluang untuk sama-sama mencapai kemajuan.

“Sempena Tahun Baharu Cina kali ini, saya berharap semua rakyat Sarawak akan lebih makmur, harmoni dan sejahtera dalam menghadapi segala cabaran terutama dengan pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST), harga minyak global serta banyak lagi.

“Bagi SUPP pula, kami akan meneruskan transformasi tahun lepas untuk tahun-tahun yang akan datang ini,” katanya.

Sementara itu, sekitar 2,000 orang hadir pada rumah terbuka TBC SUPP, Khamis lepas yang berlangsung di Dewan Sa’ati dari jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta menteri-menteri kabinet lain.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut hadir meraikan TBC SUPP.