Simpan nombor pin kad ATM dalam dompet, kelasi rugi RM700

0

SIBU: Tabiat menyimpan nombor pin kad ATM di dalam dompet bukan sahaja mengakibat seorang kelasi kapal kehilangan wang tunai di dalam dompet malah wang simpanan dalam bank habis kena kebas.

Pengadu, 19, baharu tiba di bandar ini dengan menaiki kapal  dikata bersama-sama dua rakan sekerja  pergi ke pasar malam sekitar jam 8.30 malam kelmarin.

Ketika mahu membayar barang dibeli di pasar malam, pengadu mendapati dompetnya mengandungi wang tunai lebih seratus ringgit dan kad ATM hilang.

Bimbang selepas menyedari kehilangan dompet, pengadu dibantu dua rakannya cuba mencari dompet sekitar kawasan pasar malam namun gagal.

Namun pagi semalam, pengadu menjumpai dompetnya di dalam longkang berdekatan kawasan pasar malam tetapi mendapati wang tunai dan kad ATM sudah hilang.

Lebih membimbangkannya, pengadu teringat bahawa dia telah menyimpan nombor pin kad ATM di dalam dompetnya.

Menyedari keadaan itu, pengadu terus pergi ke sebuah bank untuk menyemak baki wang simpanannya.

Seperti diduga, baki wang simpanannya lebih RM700 telah dikeluarkan oleh individu yang tidak dikenali.

Pengadu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sentral pagi semalam.