Jadikan Sada Borneo sebagai inspirasi, kata Lawrence Lai

0

MIRI: Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai mahu generasi muda di sini tidak mengetepikan budaya dan muzik tradisional mereka sebaliknya merebut setiap peluang yang ada bagi mengasah bakat dan kemahiran mereka.

Pada masa yang sama beliau mahu generasi muda di bahagian ini yang mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik, menjadikan kumpulan Sada Borneo sebagai sumber inspirasi mereka, sekali gus membuktikan bahawa mereka boleh maju dengan memperkenalkan muzik tradisional, bangsa, bandar kelahiran dan seterusnya negeri ini ke peringkat dunia.

Sebagai contoh katanya, kumpulan Sada Borneo yang telah berjaya membawa muzik tradisional negeri Sarawak khususnya sape untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa apabila mereka berjaya memenangi tiket ke peringkat separuh akhir Asia Got Talent.

Pada masa yang sama beliau melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat membawa Sada Borneo untuk tampil mengadakan persembahan pada konsert Hari Bandar Raya Miri sempena meraikan ulang tahun ke-10 pada 16 Mei depan.

“Kita sudah berjumpa dengan kumpulan Sada Borneo dan menjemput mereka mengadakan persembahan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-10 Hari Bandaraya Miri pada bulan Mei depan, sebagai meraikan kejayaan mereka dan juga menyatakan penghargaan kita terhadap pencapaian mereka.

“Bagaimanapun hasrat kita itu tidak kesampaian kerana mereka tidak dapat hadir disebabkan jadual yang ketat dan memberi komitmen sepenuhnya terhadap persiapan mereka ke peringkat separuh akhir Asia Got Talent kelak,” jelas Lai.

MBM katanya amat memahami situasi tersebut, namun tetap berharap dan berusaha untuk membawa atau menjemput Sada Borneo ke Miri bagi mengadakan persembahan, dalam acara yang lain pada masa akan datang.

Oleh yang demikian, dalam perkembangan berkaitan, MBM menyokong penganjuran yang membabitkan muzik-muzik dan budaya tradisional di bahagian ini dan sedia memberi kerjasama.

Akan datang ini, katanya MBM akan bekerjasama dengan Pustaka Negeri Sarawak, Miri, dalam penganjuran Karnival Sarawakiana 2015 pada 8 hingga 10 Mei kelak.

“Lebih-lebih lagi MBM amat menyokong penuh penganjuran acara-acara membabitkan persembahan kebudayaan, pameran dan demonstrasi muzik tradisional, pertandingan bermukun, pertunjukan serta pertandingan fesyen tradisional, masakan tradisional dan sebagainya,” jelas beliau.

Sehubungan itu Lai amat mengalu-alukan generasi muda dan individu yang berminat supaya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri acara yang diadakan.

Sempena Karnival Sarawakiana 2015, pada 8 Mei kelak, akan diadakan Pameran Warisan Budaya Tempatan, Pameran dan Demonstrasi Alat Muzik Tradisional Kaum Etnik di Sarawak yang akan bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang di ruang legar Pustaka Negeri serta saringan Pertandingan Bermukun 2015 yang akan bermula pada jam 8 malam di pentas Dataran Kipas Miri.

Manakala pada 9 Mei pula acara Pameran Warisan Budaya Tempatan serta Alat Muzik Tradisional Kaum Etnik Sarawak akan diteruskan pada hari kedua dan ketiga (10 Mei), juga pada waktu yang sama.

Di samping itu turut diadakan ialah Ceramah, Bengkel dan Demonstrasi Sape yang disasarkan pelajar sekolah, golongan belia dan individu yang berminat, yang akan diadakan di pentas Dataran Kipas bermula jam 8 pagi hingga 1 petang.

Manakala di Pustaka Miri pula, akan diadakan Klinik Gitar yang akan dikendalikan Jaya Sapetar, pemain yang menggabungkan alat muzik sape dan gitar. Klinik Gitar ini akan diadakan pada jam 9 pagi hingga 1 petang.

Klinik Gitar ini kemudiannya akan diikuti dengan Pameran Gitar bermula jam 1 hingga 5 petang, di tapak karnival di Dataran Kipas Miri.