Bola Sepak Wanita Piala Sarawak di Sri Aman

0

PEMERIKSAAN RAPI: Razali dan Cassidy memeriksa padang yang akan digunakan untuk Kejohanan
Bola Sepak Wanita Piala Sarawak 2015.

KUCHING: Kejohanan Bola Sepak Wanita Piala Sarawak 2015 yang bermula dari 30 April hingga 3 Mei di Sri Aman bakal menyaksikan penyertaan semua bahagian di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Bola Sepak Wanita Piala Sarawak 2015, Cassidy Morris berkata senarai penuh pasukan bertanding hanya akan diketahui dalam minggu ini.

“Setakat ini, semua ahli gabungan bersedia menghantar wakil masing-masing dalam kejohanan ini.

“Namun, keputusan (penyertaan) hanya akan diketahui dalam masa beberapa hari lagi,” katanya di sini semalam.

Menurut Cassidy, satu mesyuarat dengan beberapa ahli jawatankuasa penganjur telah diadakan.

Mesyuarat itu turut dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Sri Aman (SASA) yang juga Menteri Muda Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan.

Cassidy menjelaskan, pelbagai perkara dibincangkan semasa mesyuarat itu terutamanya melibatkan penganjuran kejohanan.

Sebanyak 13 pasukan dijangka bertanding pada kejohanan itu melibatkan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Selain itu, dua wakil ahli gabungan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka turut serta.