Markas Pangkalan TLDM Sandakan jayakan Program Jiwa Murni di Kampung Pulau Lubukan

0

SANDAKAN: Markas Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan telah menjayakan Program Jiwa Murni dan Kem Kesihatan sempena sambutan Hari TLDM ke-81 di Kampung Pulau Lubukan, Sandakan baru-baru ini.

Program bermula 18 hingga 19 April itu dijayakan hampir 120 orang terdiri daripada warga markas Pangkalan TLDM Sandakan, Pejabat Kesihatan dan Pejabat Pergigian Sandakan, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) serta penduduk pulau.

Usaha murni berkenaan bertepatan dengan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang giat dilaksanakan oleh TLDM.

Ia secara tidak langsung dapat memupuk semangat kerjasama antara pihak tentera dengan rakyat sekali gus mewujudkan suasana harmoni dan mesra.

Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sepanjang dua hari program berlangsung termasuk gotong-royong membaiki dan mengecat bangunan sekolah, membersihkan kawasan sekolah, membaik pulih jeti dan titi, membaiki set jana kuasa kecemasan serta pameran dan pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan pergigian dan pap smear.

Selain itu, lawatan serta penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada warga tua dan keluarga miskin turut diadakan.

Turut diadakan, aktiviti mengeratkan silaturahim seperti acara gusti lengan yang melibatkan penyertaan wakil Markas Pangkalan TLDM Sandakan, PVATM, Pejabat Kesihatan, Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Lubukan serta penduduk pulau.

Sementara itu, berucap merasmikan Program Jiwa Murni, Komander Pangkalan Sandakan Laksamana Pertama Dato’ Ahmad Abdullah berkata, pihaknya akan sentiasa bersedia memberi bantuan kepada penduduk kampung sekiranya diperlukan.

”ATM juga memerlukan bantuan dari penduduk di pulau-pulau untuk menjadi mata dan telinga mengenai sebarang aktiviti yang mencurigakan. Kita mengharapkan kerjasama mereka untuk melaporkannya kepada pasukan keselamatan bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

Menurut beliau, ketika waktu Insurgensi Komunis dan Konfrontasi Indonesia, program seumpama itu disebut sebagai Tentera Masuk Desa berikutan hanya pasukan tentera sahaja yang boleh memasuki kampung dan desa pada ketika itu bagi melakukan tugas Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN).

Dalam pada itu, beliau berharap Program Jiwa Murni itu dapat memberi manfaat kepada penduduk Kampung Pulau Lubukan dari aspek kesihatan memandangkan pulau berkenaan tidak mempunyai klinik.

Kem Kesihatan yang dibuka telah memberi manfaat kepada lebih 420 penduduk kampung yang menjalani rawatan pergigian dan penyakit ringan, pemeriksaan kesihatan serta ujian ‘pap smear’.

Selain menjadi platform untuk menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat, program itu juga dapat mengeratkan hubungan antara TLDM dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan, Persatuan Veteran ATM, pihak sekolah dan penduduk Kampung Pulau Lubukan.

Sementara itu, penduduk kampung dalam maklum balas, menyambut baik penganjuran program berkenaan dan berharap ia akan diteruskan dari semasa ke semasa. Maklum balas positif juga diterima daripada Pejabat Kesihatan dan PVATM.

Program seumpama itu juga adalah faktor utama dalam membentuk perpaduan antara The Navy People dan pihak terlibat, yang merupakan kunci bagi mendukung Visi TLDM iaitu menjadi Tentera Laut Bertaraf Dunia.