LKIM cadang zon keselamatan atasi masalah nelayan asing

0

KUANTAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan zon keselamatan di pesisiran pantai Pahang, Terengganu dan Kelantan bagi mengatasi masalah pencerobohan nelayan asing.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata kewujudan zon keselamatan seperti Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dijangka mampu mengekang masalah itu yang masih berleluasa dan sering dibangkitkan nelayan pantai timur.

“Kita berharap dengan adanya zon kawalan keselamatan seperti ESSCOM yang melibatkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, masalah pencerobohan nelayan asing dapat dibanteras.

“Jika terus dibiar, nelayan yang memperoleh sumber pendapatan menerusi hasil tangkapan ikan kian terjejas dan ini amat tidak baik bagi ekonomi mereka,” katanya.

Irmohizam berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-29 Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PERNEPA) di sini, semalam.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata masalah pencerobohan juga memberi kesan negatif, iaitu mengurangkan hasil tangkapan dan bekalan ikan kepada pengguna.

“Kita mahu pastikan bekalan ikan di dalam negara sentiasa mencukupi terutama di pasar tani mahupun pasar nelayan dan menekankan kepada setiap persatuan nelayan negeri untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan bagi memenuhi permintaan pengguna terutamanya menjelang bulan puasa,” katanya.

Justeru, beliau berkata pihaknya berpandangan kewujudan zon keselamatan perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi isyarat kepada negara jiran bahawa Malaysia bertegas dalam hal itu.

“Kita mahu mengukuhkan keyakinan nelayan bahawa masalah mereka ini dapat pembelaan dan tidak diabaikan oleh kerajaan.

“Mungkin pangkalan maritim boleh diwujudkan di Pahang atau Terengganu di bawah zon keselamatan ini untuk memastikan pelaksanaan penguatkuasaan dapat dilakukan secara berterusan,” katanya. — Bernama