Heli terbakar, pelatih cedera

0

CEMAS: Anggota Penyelamat Kecemasan Lapangan Terbang memadam api selepas helikopter tersebut terbakar ketika melakukan pendaratan cemas di LTAKK kelmarin.

Oleh Vivi Olviana Najurus //

KOTA KINABALU: Seorang pelatih juruterbang wanita di Layang-Layang Helikopter Academy Sdn Bhd (LLHA) cedera selepas helikopter jenis Bell 206B milik LLHA terbakar ketika melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini, semalam.

Fatin Nadeera Mohamad Jeffrey, 21, bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) Kota Kinabalu.

Ketua Tenaga Pengajar LLHA Kapten Sudhir AK Kumaren dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, dalam kejadian pada jam 11.58 itu, Fatin terpaksa mendaratkan helikopter berkenaan ketika melakukan latihan penerbangan solo beliau di sekitar kawasan LTAKK.

“Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan punca sebenar kebakaran terbabit dan masih dalam siasatan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Perkembangan maklumat berkaitan akan disampaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Difahamkan, operasi latihan diberhentikan sementara berikutan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, tiada sesiapa dilaporkan cedera selain pelatih juruterbang yang hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian lutut memandangkan beliau seorang sahaja di dalam helikopter ketika kejadian.

“Beliau kini berada dalam keadaan yang stabil, bagaimanapun masih dalam pemerhatian pihak hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.57 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada jam 12.04 tengah hari bersama 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Kota Kinabalu.

“Hasil laporan awal mendapati helikopter berkenaan terbakar pada bahagian enjin ketika membuat pendaratan kecemasan lalu terbalik dan terbakar.

“Seorang mangsa iaitu juruterbang wanita berjaya merangkak keluar dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak LLHA,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak dibenarkan masuk ke zon merah dan hanya bersiap sedia bagi membantu sebarang kemungkinan.

Difahamkan, Pasukan Penyelamat Kecemasan Lapangan Terbang ditugas untuk memadamkan kebakaran dan melakukan operasi menyelamat di lokasi kejadian.