PBB buat laporan polis terhadap ‘Group Facebook DUN Lingga’

0

SRI AMAN: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga baru-baru ini membuat laporan polis di sini, berhubung kewujudan ‘Group Facebook DUN Lingga’ yang bertujuan mengelirukan rakyat di kawasan itu.

Ketua Penerangan PBB Cawangan DUN Lingga Awang Magerib Awang Ani berkata, tujuan laporan polis dibuat adalah untuk menafikan segala dakwaan yang terdapat dalam ‘Group Facebook DUN Lingga’ itu yang cuba mengelirukan dan memesongkan maklumat sebenar di kawasan Lingga.

“Kewujudan Group Facebook DUN Lingga ini dilihat bertujuan mengelirukan rakyat dengan informasi yang tidak benar dan diyakini mempunyai niat jahat untuk memecah belah perpaduan rakyat khususnya dengan prestasi Yang Berhormat (YB) Simoi Peri, yang semakin diterima rakyat.

“Kita akui bahawa ketika ini bahang Pilihan Raya Negeri semakin terasa dan adalah tidak mustahil kewujudan kumpulan ini mempunyai agenda politik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Sementara itu Ketua Wanita PBB DUN Lingga Kamis Sita Wasli menjelaskan bahawa pihaknya berasa terkilan kerana pemilik Facebook DUN Lingga itu sanggup menggunakan gambar orang lain untuk mendapat perhatian.

“Sikap pemilik Group Facebook itu menggunakan gambar ADUN Lingga sebagai ‘cover photo’ dilihat sebagai usaha terdesak untuk mendapat perhatian.

“Selain gambar, penggunaan perkataan DUN Lingga juga dilihat cubaan untuk mengelirukan rakyat kononnya Group Facebook itu milik YB Simoi Peri mahupun Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lingga.

“Atas rasa kebertanggungjawaban, kami ahli-ahli PBB DUN Lingga wajar membuat laporan polis ini dalam usaha menegakkan kebenaran dan membersihkan nama ADUN Lingga,” katanya.

Sementara Zaidi Abang Akim yang mewakili ranting dan ahli PBB Kampung Lingga turut sama melahirkan rasa terkilan dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab pemilik Facebook terbabit.

“Pada kami YB Simoi Peri telah memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk-penduduk di kawasan Lingga sepanjang menjadi ADUN Lingga.

“Sebagai ADUN beliau telah banyak mendekati rakyat tanpa mengira kaum dan agama dalam usaha menyelami permasalahan yang dihadapi rakyat di DUN Lingga,” jelasnya yang turut bersama-sama membuat laporan polis berkenaan.

Dengan laporan polis itu, ia akan membersihkan nama ADUN Lingga YB Simoi Peri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Lingga dan PBB Lingga daripada sebarang penyebaran berita palsu dan mengelakkan tanggapan yang tidak baik kepada penduduk di DUN itu khasnya dan Sarawak amnya.