Wazirul kebanggaan Sarawak

0
HARUMKAN NAMA SARAWAK: Wazirul (kanan) merakam kenangan selepas berjaya menumpaskan pencabarnya, Aiman dalam Kejohanan D1 Fighting Championship (D1FC).

HARUMKAN NAMA SARAWAK: Wazirul (kanan) merakam kenangan selepas berjaya menumpaskan pencabarnya, Aiman dalam Kejohanan D1 Fighting Championship (D1FC).

Tewaskan Aiman Nazmin dari Kuala Lumpur pada D1FC: ‘Rise Above The Rest’

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Petinju muaythai tempatan yang kian menyinar, Mohammad Wazirul Naziman Zaidil berjaya mengharumkan nama Sarawak pada Kejohanan D1 Fighting Championship (D1FC): ‘Rise Above The Rest’ yang berlangsung di Oceanus Waterfront Mall Kota Kinabalu, Sabah kelmarin.

Wazirul yang berusia 19 tahun berjaya menewaskan pencabarnya dari Kuala Lumpur Aiman Nazmin Muhamad Nazim dalam kategori 50 kilogram.

“Ini adalah kemenangan yang pertama saya bagi kejohanan di luar Sarawak.

Tiada kata yang dapat menggambarkan kegembiraan yang saya kecapi pada hari ini (kelmarin).

“Saya dan pencabar saya memberi persembahan terbaik sehingga ke pusingan kelima dan keputusan memihak kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas kejohanan itu.

Anak kelahiran Miri itu kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara ” “ (UiTM) Kampus Samarahan yang kini mencatat rekod perlawanan 16 kemenangan dan tiga kalah.

“Ini akan menjadi batu lonjatan untuk saya pergi lebih jauh (profesional) lagi,” tambah Wazirul yang bercita-cita menjadi seorang jurulatih petinju muaythai suatu hari kelak.

Beliau memberitahu, sudah menjadi harapannya untuk melatih anak muda Sarawak untuk berjaya dalam sukan ekstrem itu.

“Saya telah dilatih oleh jurulatih terbaik sebab itu saya mahu menjadi seperti itu suatu masa nanti untuk berbakti kepada negeri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, perlawanan melibatkan seorang lagi petinju Sarawak, Amos Aldrich Bundan Winter yang menentang Rayner Kinsiong dari Sabah dalam kategori 70 kilogram dibatalkan kerana masalah teknikal.

Kejohanan D1FC dijadualkan akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Ogos akan datang.