Rakyat sentiasa dibantu selagi bersama BN: KM

1
SEMANGAT PERPADUAN: Adenan memikul tikar yang diberi oleh Nansian semasa menghadiri Majlis Perayaan Gawai Dayak Karnival REDEEM, sambil dilihat Tun Taib dan tetamu kehormat lain.

SEMANGAT PERPADUAN: Adenan memikul tikar yang diberi oleh Nansian semasa menghadiri Majlis Perayaan Gawai Dayak Karnival REDEEM, sambil dilihat Tun Taib dan tetamu kehormat lain.

Tidak perlu risau kekurangan dana bina Pusat REDEEM jika mereka terus setia bersama BN

Oleh Rusnan Mustafa //

BAU: Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru tidak perlu risau tentang kekurangan dana bagi membina Pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (REDEEM), Kampung Apar sekiranya terus setia berdiri teguh bersama Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, kekurangan dana sebanyak RM2 juta bagi membina pusat kebudayaan itu tidak menjadi satu masalah jika rakyat di situ terus menyokong beliau dan BN.

“Apabila tiba masanya saya memerlukan sokongan kamu (pada Pilihan Raya Negeri Ke-11), jangan lupakan saya, jika kamu berjanji untuk terus setia, saya ada RM2 juta untuk kamu (bagi pembinaan REDEEM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perayaan Gawai Dayak sempena Karnival REDEEM, Kampung Apar di sini malam kelmarin.

Justeru, Adenan yang merupakan pengerusi BN Sarawak berharap rakyat negeri ini terus memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin negeri ini.

“Saya berharap kamu memberi saya masa lima tahun lagi untuk memimpin agar lebih banyak pembangunan dan keperluan rakyat negeri ini dapat saya laksanakan,” katanya.

Terdahulu, Presiden REDEEM Datuk Peter Nansian Ngusie memberitahu, pihaknya masih kekurangan dana sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan projek pembinaan pusat kebudayaan itu.

Beliau menjelaskan bahawa setakat ini dana terkumpul hasil sumbangan kerajaan pusat adalah sebanyak RM6 juta yang mana pusat itu memerlukan kos pembinaan sebanyak RM8 juta.

“Kalau kita sudah mempunyai dana mencukupi kita boleh mula melaksanakan projek ini yang memerlukan tempoh masa pembinaan selama dua tahun,” jelasnya.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian) itu menambah, dana yang terkumpul itu disumbangan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa lawatannya ke negeri ini dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sekarang kita sudah mempunyai dana sebanyak RM6 juta dan masih kekurangan RM2 juta lagi, sebab itu saya memohon peruntukan daripada kerajaan negeri untuk kita memulakan projek ini,” ujarnya.

Majlis perayaan Gawai Dayak itu kelmarin diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Toh Puan Datuk Seri Ragad Kurdi Taib.

Hadir sama Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh, Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) Tan Sri William Mawan Ikom, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri  Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, isteri Nansian Datin Rose Sanden dan Presiden REDEEM Life Datuk Wilfred Rata Nissom.