Kabar Tengah mohon lebih banyak pembangunan

0

Resolusi diserah kepada Dennis merangkumi empat perkara utama bangun penduduk setempat

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

MIRI: Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Baram Tengah (Kabar Tengah) mahu pembangunan dan infrastruktur di kawasan itu ditambah baik.

Pengerusinya Peter Jalong Usang berkata, pihaknya telah menyerahkan resolusi pembangunan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dennis Ngau Jok.

“Isi kandungan resolusi menyentuh empat perkara iaitu naik taraf jalan raya sedia ada, penambahan grid kuasa untuk elektrik, air bersih dan pusat perniagaan untuk penduduk,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, resolusi itu telah dipersetujui dan ditandatangani ketua masyarakat serta ketua kaum Kabar Tengah.

“Kita berterima kasih kepada beliau (Dennis) kerana tidak melupai kita dan berharap lima tahun akan datang, beliau masih jadi wakil rakyat di sini,” jelas Peter lagi.

Sementara itu, Dennis ketika memberi respons terhadap resolusi itu mengatakan bahawa ia sesuatu yang sangat bagus untuk diikuti oleh pihak lain.

“Saya puji usaha ini dan telah memberi pendapat supaya kawasan lain mewujudkan jawatankuasa seperti Kabar Tengah juga,” ujar Dennis.

Mengenai Kabar Tengah, Dennis menyifatkan kawasan itu bakal menerima tempias pembangunan daripada beberapa projek besar dijalankan ketika ini di kawasan Baram seperti pembinaan empangan hidroelektrik.

“Kabar Tengah salah satu daripada kawasan strategik bakal menerima tempias positif daripada projek besar empangan hidroelektrik Baram,” tambahnya lagi.