Bekalan santan kelapa untuk Aidilfitri di Sarawak mencukupi

0

KUCHING: Sarawak tidak berdepan masalah kekurangan santan kelapa menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak Su’udi Arof sambil menambah, Sarawak mendapat bekalan santan kelapa daripada pembekal-pembekal tempatan khususnya dari bahagian Samarahan.

Katanya Sarawak mempunyai pembekal tempatan yang komited mengeluarkan kelapa matang untuk menghasilkan santan bagi memastikan bekalan mencukupi lebih-lebih lagi setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Kita (Sarawak) mempunyai pembekal santan kelapa tempatan dari Samarahan yang pengeluarannya sentiasa mencukupi terutama semasa musim perayaan.

“Justeru masalah kekurangan bekalan santan kelapa sempena Hari Raya Aidilfitri lebih-lebih lagi setakat ini tidak pernah berlaku seperti dialami di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai tidak perlu khuatir dengan bekalan komoditi itu kerana ia sentiasa mencukupi dan sekiranya berlaku kes kekurangan bekalan di pasaran, FAMA akan berusaha memastikan ia tidak berlaku.

“Jadi tidak perlulah pengguna berasa khuatir dan melakukan pembelian panik kerana apa yang sering berlaku di Semenanjung Malaysia tidak semestinya berlaku di sini,” katanya.

Su’udi turut memberitahu bahawa beberapa barang keperluan lain yang lazimnya dipasarkan di pasar tani FAMA antaranya telur ayam juga tidak berdepan masalah kekurangan bekalan.