Usaha kerajaan membangunkan Sarawak harus dapat penghargaan daripada rakyat

0

SRI AMAN: Usaha kerajaan membangunkan negeri ini harus mendapat penghargaan daripada rakyat.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berkata penghargaan dan terima kasih rakyat dapat ditunjukkan dengan menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau berkata BN nyata berupaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk mereka di negeri ini sejak dahulu sehingga sekarang.

“Penghargaan rakyat harus ditunjukkan dengan terus menyokong BN pada PRN akan datang yang membolehkan hidup rakyat terus maju dari semasa ke semasa,” katanya pada Majlis ‘Ngiling Bidai Begulai Bejalai’ di Rumah Igai, Nyakai Atas Jalan Paip di sini semalam.

Pada majlis itu, Harden mengumumkan peruntukan sejumlah RM3,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Igai manakala RM3,000 untuk Biro Wanitanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihat rakyat luar bandar negeri ini agar sentiasa mengutamakan kebajikan dan pendidikan anak-anak di rumah demi mengisi keperluan modal insan negara.

“Saya berharap ibu bapa komited berhubung usaha ini bagi mengisi keperluan tenaga kerja mahir negara dan memajukan pendidikan anak-anak,” katanya.

Turut hadir isterinya, Datin Simba Nalang, Pengerusi Kesatuan Chee Chuan Khor Simanggang Kapitan Kuek Aik Seng, Penasihat Pemuda SUPP Simanggang Patrick Michael Malajin, kaunselor-kaunselor dan ketua-ketua kaum di sini.