Tak serik, kaki ‘pow’ dicekup lagi

0
DITAHAN: Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

DITAHAN: Suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Kaki ‘pow’ yang pernah ditahan polis sebelum ini mengulangi kegiatannya mengugut pengguna jalan raya yang didakwa telah melanggarnya dan meminta wang untuk ganti rugi atau perubatan.

Bagaimanapun, perbuatannya itu tidak lama apabila dia dicekup polis ketika hendak menuntut motosikalnya selepas dia terlibat dengan kemalangan dan cuba mengugut seorang pengguna jalan raya kelmarin.

Ketua Polis Daerah ACP Roslan Bek Ahmad yang mengesahkan tangkapan tersebut memberitahu suspek ditahan reman selama tiga hari dan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek pada Isnin lalu cuba menahan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun di persimpangan lampu isyarat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua No.6 di sini, sekitar jam 10 pagi.

“Oleh kerana mangsa enggan memberhentikan keretanya, suspek terus mengejarnya serta turut membaling objek dipercayai batu ke cermin belakang kereta mangsa.

“Kebetulan insiden tersebut disaksikan oleh adik mangsa yang memandu di belakang kereta mangsa lalu dia memintas motosikal suspek menyebabkan berlaku pelanggaran sehingga mencetuskan pergaduhan di antara mereka.

“Suspek kemudian melarikan diri, namun berjaya ditangkap di kawasan Balai Polis Satok semasa hendak menuntut motosikalnya yang ditinggalkan di tempat kejadian,” jelas Roslan.

Menurut Roslan, suspek pernah ditahan polis sebelum ini di bawah seksyen yang sama, namun dibebaskan selepas pengadu menarik balik laporan polis terhadapnya.

“Mohon kepada sesiapa yang pernah menjadi mangsa dengan modus operandi yang sama, sila tampil untuk membuat laporan polis,” kata Roslan.