Rakyat main peranan kekalkan perpaduan dan keharmonian

0

BELURAN: Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, rakyat memainkan peranan penting dalam usaha mengekalkan perpaduan dan keharmonian di negara ini.

Sehubungan itu katanya, usaha mengelak berlaku perbalahan antara sesama sendiri perlu diberi keutamaan.

“Perpaduan dan kehormian antara rakyat menjadi kekuatan kepada kita di Sabah dan harus dipertahankan.

“Dua faktor itu memainkan peranan penting kepada usaha membangunkan negeri ini yang masih memerlukan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran penduduk Kampung Tanjung Nipis di Paitan pada Sabtu lepas.

Ronald yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, gandingan semua lapisan pemimpin komponen parti Barisan Nasional penting untuk mempermudahkan kerajaan melaksanakan pembangunan di kawasan mereka.

Menurutnya, i su-i su perolehan pembangunan menyebabkan ada antara pemimpin di kawasan bergolak sesama sendiri apatah lagi sesama parti kerajaan.

“Ini perlu dielak kerana ia akan menjejaskan pelaksanaan pembangunan di kawasan luar bandar. Apa yang perlu diutamakan adalah kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan erat kalangan rakyat akan mempermudahkan usaha kerajaan untuk membangunkan sesebuah kawasan.

Dalam pada itu, Ronald berkata di Kampung Tanjung Nipis, walaupun kini mempunyai bekalan air bersih tetapi masih memerlukan peruntukan untuk kerja naik taraf jalan dan bekalan elektrik serta kemudahan yang lain.

Katanya, masalah itu menjadi keutamaan kepada beliau untuk diatasi dan yakin mampu diselesaikan disebabkan usaha untuk membangunkan kemudahan awam merupakan agenda utama kerajaan untuk kawasan di luar bandar.