Pilihan raya mungkin awal tahun depan

0

Adenan tolak kebarangkalian PRN diadakan pada tahun ini disebabkan beberapa faktor

ADENAN

ADENAN

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menolak kebarangkalian Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) Ke-11 diadakan pada tahun ini sambil menyatakan masa sesuai ialah pada awal tahun depan.

Menurutnya, tempoh itu sesuai kerana bajet persekutuan dan negeri akan dibentangkan menjelang hujung tahun, malahan musim tengkujuh dijangka bermula pada tempoh itu.

“Kemungkinan awal tahun baharulah,” katanya yang terdahulu memberitahu tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada Jun 2016 dan membayangkan tidak mungkin ia diadakan pada penghujung penggal.

Menerusi program Soal Jawab disiarkan menerusi TV3 pada jam 11 malam kelmarin, beliau juga berkata pengwujudan 11 kerusi DUN baharu menunjukkan komitmen kerajaan BN dalam membangunkan luar bandar.

Majoriti kerusi baharu itu terletak di kawasan luar bandar, katanya sambil me-nambah bahawa ia juga menunjukkan suara rakyat di kawasan tersebut tidak di-pinggirkan.

Luar bandar jelasnya ke-tinggalan dari segi kemudahan asas berbanding luar bandar, serta jurang sosioekonomi nyata berbeza dengan penduduk di bandar.

“Jika hendak cari orang miskin pergi luar bandar dan kalau nak cari orang kaya di bandar. Jurang itu sangat luas,” katanya.

Mengenai keyakinan untuk menang besar pada PRN akan datang, beliau berkata rakyat masih yakin dengan keupayaan Barisan Nasional (BN).

Bukan sahaja berdasarkan rekod kemenangan BN pada siri pilihan raya sebelum ini, tetapi parti pemerintah itu tidak berhadapan masalah yang serius sehingga mampu menggugat peluang untuk menang.

“Mood rakyat sekarang cenderung kepada dacing kerana mereka (BN) boleh dipercayai. Berapa kali sudah rakyat memberi kepercayaan kepada BN,” ujarnya.

Pengundi di luar bandar menurutnya tidak mudah terpengaruh dengan isu kurang berkaitan dengan mereka misalnya 1MDB, GST dan sebagainya.

“Mereka (rakyat luar bandar) tidak berapa meng-ambil berat tentang perkara seperti hak kemanusiaan, tetapi apa yang lebih penting ialah macam mana nak cari sesuap nasi,” katanya.

Adenan yang telah memegang tampuk pemerintahan negeri selama 17 bulan berkata beliau memerlukan lima tahun lagi untuk melaksanakan pembangunan lebih pesat di Sarawak.

“Saya belum puas hati lagi kerana 17 bulan masa yang singkat dan banyak lagi yang hendak saya capai dan ada program-program pembangunan hanya akan nampak kesan selepas empat hingga lima tahun.

“Itulah sebabnya saya minta kepada orang Sarawak beri kerajaan lima tahun lagi untuk buktikan kita mampu berbuat sesuatu. Kita setakat ini memang belum puas hati,” katanya.

Menurut beliau, Sarawak merupakan negeri yang besar untuk dibangunkan, malah penempatan berselerak menerusi 5,000 penempatan memberi cabaran terhadap usaha kerajaan.

Mengenai isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang menjadi mainan pembangkang setiap musim pilihan raya, beliau berkata kerajaan kini giat melaksanakan pemberian surat hak milik NCR dan kerja-kerja penyukatan.

Katanya, beribu-ribu surat hak milik tanah NCR telah diserahkan kepada pemiliknya sambil menjelaskan rakyat berasa bimbang apabila tanah mereka tidak mempunyai dokumen bertulis untuk mengesahkannya.

“Banyak lagi yang belum diberi dan oleh itu kita sukat perimeter sahaja dahulu. Usaha ini mendapat peneri-maan yang baik daripada rakyat,” katanya.

Mengenai usaha membanteras pembalakan haram dan rasuah dalam sektor itu, Adenan menegaskan bahawa ia dilakukan demi kelestarian sumber semula jadi.

Beliau sejurus mengambil alih tampuk pemerintahan mengisytiharkan ‘perang’ terhadap kegiatan haram itu.

“Sebelum ini pencuri bermaharajalela, mereka tebang pokok sana-sini.

“Kita mesti hentikan ini kerana banyak sangat kecurian maka satu hari hutan kita akan habis,” katanya.