Angin kencang terbangkan atap 10 rumah di Seduku

0
MUSNAH: Kerosakan teruk salah sebuah rumah penduduk.

MUSNAH: Kerosakan teruk salah sebuah rumah penduduk.

ROSAK TERUK: Kedai runcit milik penduduk Seduku yang turut musnah.

ROSAK TERUK: Kedai runcit milik penduduk Seduku yang turut musnah.

SEDUKU, Lingga: Hujan lebat serta ribut menerbangkan atap 10 rumah penduduk dalam kejadian di Kampung Penempatan Baru, Agropolitan Seduku di sini pada jam 10 malam kelmarin.

Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Lingga Mohamad Ellifizan Paukan berkata, kebanyakan atap rumah yang terjejas diterbangkan sejauh kira-kira 50 meter.

Namun demikian, katanya, kesemua mangsa terdiri daripada 80 ahli keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Salah sebuah rumah rosak teruk, malah rumah kedai milik mangsa yang berhadapan kediamannya hampir tercabut. Kesemua barang dalam kedai berkenaan turut basah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semasa kejadian, semua penduduk belum tidur dan ada yang masih menonton televisyen.

“Nasib baik keluarga mangsa terlibat sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan. Buat masa ini, semua mangsa masih menetap di rumah masing-masing sementara menunggu bantuan disalur,” jelasnya.

Sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sri Aman turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa ribut itu.

Begitu juga, pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman bergegas ke tempat kejadian untuk membantu serta menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Kampung Penempatan Baru, Agropolitan Seduku merupakan penempatan baharu yang dihuni 150 orang penduduk.