93 majikan gagal membayar gaji minimum

0
August Buma

August Buma

JTK Sarawak periksa 5,700 majikan bagi tempoh 10 bulan tahun ini di bawah Perintah Gaji Minimum 2012

Oleh Borhaniza Ali Basah //

SIBU: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas 5,700 tempat pekerjaan bagi tempoh 10 bulan tahun ini untuk pematuhan Perintah Gaji Minimum 2012.

Pengarahnya Datu August Buma berkata setakat ini seramai 93 majikan telah didapati gagal membayar gaji minimum kepada pekerja mereka seperti yang telah ditetapkan.

“Seramai 55 majikan telah mematuhi arahan ditetapkan setelah diberikan notis pematuhan oleh penguat kuasa daripada jabatan kami,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Jelasnya, sebanyak 25 masih belum memberi sebarang maklum balas, manakala 13 majikan kemungkinan akan dikenakan tindakan undang-undang setelah proses kertas siasatan untuk mendakwa mereka dimulakan.

“Jabatan kami juga telah mendapat kebenaran untuk mendakwa seorang majikan dan kes berkenaan akan difailkan di mahkamah tidak lama lagi,” katanya yang turut ditanya mengenai tahap pematuhan Gaji Minimum 2012 di negeri ini.

Beliau memberi pecahan kes mengikut sektor apabila sektor borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor mempunyai 33 kes manakala hotel, makanan dan minuman (31), penyimpanan dan pengangkutan (lapan); sektor-sektor perkhidmatan yang lain (tujuh), pembuatan (empat); pertanian, perhutanan dan perikanan (empat); pentadbiran, keselamatan dan perkhidmatan sosial (tiga); elektrik dan bekalan gas dan pendingin hawa (satu), komunikasi dan sektor maklumat (satu) dan hartanah (satu).

Bagi kes ketidakpatuhan mengikut saiz sektor: Perusahaan mikro (satu hingga empat pekerja) melibatkan 41 kes, perusahaan kecil (lima hingga 74 pekerja) 38 kes, perusahaan sederhana (75-199 pekerja) empat kes dan syarikat besar (200 atau lebih pekerja) 10 kes.

Beliau memberitahu bahawa pada tahun 2014 jabatan itu telah menjalankan pemeriksaan penguatkuasaan ke atas 4,085 majikan di Sarawak.

“Daripada jumlah itu, 74 majikan yang diperiksa telah didapati gagal mematuhi arahan

dan jabatan itu tidak menawar kompaun kepada majikan yang tidak mematuhi arahan.

“Sebaliknya notis pematuhan telah dikeluarkan kepada majikan untuk membayar gaji mengikut perintah, termasuk pembayaran tunggakan gaji yang harus dibayar kepada pekerja,” katanya.

Jelasnya, jika majikan gagal mematuhi notis jabatan itu hendaklah diteruskan untuk memulakan tindakan undang-undang di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.