Liga Rakyat: Betong, Kapit terikat 3-3

0

BETONG: Beraksi di padang basah dan licin berikutan hujan sebelah pagi tidak merencatkan aksi Betong menerima kunjungan Kapit pada pertembungan Liga Bola Sepak Rakyat di Kompleks Sukan Betong kelmarin.

Dalam pertemuan aksi kedua Kumpulan A masingmasing bagi kedua-dua pasukan menyaksikan keputusan terikat 3-3.

Pada aksi tersebut, Kapit menewaskan Sarikei pada perlawanan sulung terlebih dahulu mencipta kejutan apabila Douglas Gon Lawang mengasak ke kubu lawan dengan rembatan kencang dan menjaringkan gol seawal minit pertama.

Betong tampak goyah minit-minit awal permainan terus diasak pemain Kapit dan minit ketujuh pemain tengah Betong, Saiful Amin menyamakan kedudukan dengan ledakan deras apabila bola tampanan penjaga gol melantun di hadapannya terus menghasilkan gol.

Dalam kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan Kapit menambah jaringan menerusi penyerang lincah, Sinlee Awang minit ke-15 dan ke-24 dengan sepakan hampir sama mencipta jaringan.

Betong ketinggalan terus mengasak kubu lawan separuh kedua namun terpaksa menunggu minit ke-73 untuk Frederick merapatkan jurang gol apabila perebutan dalam petak penalti berjaya menghasilkan jaringan.

Bagaimanapun, penyerang sensasi Betong Asparezal Harun menyamakan kedudukan minit ke-85 setelah menerima umpanan rakan sepasukan di luar petak penalti terus merembat masuk untuk keputusan penuh 3-3.

Perlawanan seterusnya pada 28 November ini, Betong bakal berkunjung ke Sri Aman manakala Kapit melayan Kuching di Stadium Terbuka Kapit.