KPM mahu tambah peruntukan untuk RIMUP

0

KUALA NERANG: Kementerian Pendidikan bercadang menambah peruntukan bagi Rancangan Integrasi Murid (RIMUP) di seluruh negara pada tahun depan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, ia bagi memastikan penglibatan lebih ramai murid daripada pelbagai aliran sekolah untuk saling berintegrasi dalam satu-satu program.

“Kalau boleh kita hendak setiap negeri ada RIMUP, mungkin satu atau dua program di peringkat kebangsaaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Kem Integrasi Kepimpinan Pengawas, RIMUP di Dusun Minda Resort semalam.

RIMUP mula diperkenalkan pada 1986 ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Pendidikan, bertujuan memupuk semangat perpaduan kaum di peringkat sekolah menerusi aktiviti bersama seperti sukan dan kokurikulum.

Program itu dilancarkan semula pada 2005, apabila Abdullah menjadi Perdana Menteri dengan peruntukan tahunan sebanyak RM25.8 juta.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahdzir berkata dalam meningkatkan pengukuhan perpaduan nasional berterusan, usaha meningkatkan interaksi dalam kalangan murid penting bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman dan aspirasi. — Bernama