Penduduk terasa beban kejatuhan harga getah

0

SIBU: Kejatuhan terus menerus harga getah sehingga di bawah paras RM3 sekilogram ternyata memberi kesan kepada penduduk di Nanga Wak, Pakan.

Menurut seorang penoreh getah, Mamat Sa’a, kejatuhan harga getah sejak beberapa tahun lepas memaksa mereka beralih arah kepada tanaman lain.

“Jika dahulu kami mampu memperoleh RM700 seminggu atau RM3,000 sebulan tetapi masa kini mendapatkan RM100 seminggu pun sukar,” ujarnya ketika ditemui pemberita, semalam.

Harga getah keping kini difahamkan RM2.80 sekilogram manakala getah sekerap RM1.50 sekilogram.

Difahamkan juga sekeping getah yang telah diproses mencecah berat sehingga 10 kilogram.

Mamat yang berasal dari Rumah Ili Sunai, Kerangan Langgir, Nanga Wak berkata kejatuhan harga getah menyukarkan mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Hendak membeli minyak diesel atau petrol juga payah,” katanya sambil memberitahu bahawa mereka masih lagi bergantung kepada jana kuasa elektrik untuk bekalan elektrik.

Beliau membelanjakan purata RM150 sebulan bagi membeli minyak diesel untuk kegunaan jana kuasa elektrik yang beroperasi dari jam 6 petang hingga 9 malam setiap hari.

Ketika harga getah mencecah sehingga RM11 sekilogram dahulu, Mamat berkata kehidupan penduduk amat baik.

Malah ada penduduk katanya, mampu memiliki kenderaan sendiri seperti kereta atau motosikal.

Namun selepas kejatuhan harga getah, penduduk terpaksa beralih kepada tanaman lain seperti lada dan kelapa sawit.

“Bagi penduduk yang mengusahakan tanaman lada, dengan harga kini mencecah RM32 sekilogram, kehidupan mereka bertambah baik,” katanya.

Mamat yang turut mengusahakan tanaman lada berkata tanamannya itu kini mula membuahkan hasil dan memberi sedikit harapan kepadanya sekeluarga.

Dengan harga amat menarik itu, beliau kini telah menanam lebih kurang 300 pokok lada.