MPS tingkat ciri pengawasan tempat pembiakan aedes, kata Tiong

0

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah meningkatkan ciri pengawasan tempat pembiakan nyamuk aedes terutama di kawasan perumahan berisiko tinggi.

Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King berkata, inspektor kesihatan melakukan aktiviti pengawasan harian dan memeriksa tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes serta sampel diambil untuk analisis.

“Jika sampel diambil didapati positif, pihak majlis tidak teragak-agak untuk melakukan tindakan susulan dengan mengenakan kompaun ke atas pemilik atau penyewa.

“Kompaun RM500 yang dikenakan adalah tetap dan pihak majlis tidak menerima sebarang rayuan untuk mengurangkan kompaun itu,” ujarnya pada mesyuarat penuh bulanan MPS di Wisma Sanyan, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong dan Pemangku Setiausaha MPS Abu Bakar Sepawi.

Tiong menggesa orang ramai untuk menyahut seruan Kementerian Kesihatan mengambil inisiatif sendiri dengan membersihkan kawasan sekitar dan memusnahkan mana-mana tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Antara tempat yang berpotensi untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes adalah pasu bunga, kenderaan terbiar, sampah dan sebagainya. Risiko wabak denggi dapat dikurangkan dengaan kerjasama semua pihak,” katanya.

Sementara itu, semua peniaga dan persatuan yang menjalankan aktiviti di mana-mana bangunan pihak majlis, pasar atau pusat penjaja yang hendak melakukan persembahan tarian singa sempena Tahun Baharu Cina diminta memohon permit sebelum melakukannya.

“Begitu juga dengan mana-mana sekolah, parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga diingat memohon permit menjalankan aktiviti bertujuan kutipan amal atau apa-apa tujuan dalam kawasan pihak majlis,” tegasnya.