20 sekolah ditutup akibat banjir, 6,255 pelajar terjejas

0

KUCHING: Sebanyak 20 sekolah terpaksa ditutup akibat banjir sekali gus menjejaskan 6,255 pelajar.

Sekolah-sekolah yang ditutup di Bau adalah seperti SK Buso, SK Tembawang, SJK(C) Chung Hua Siniawan, SK Suba Buan, SK(C) Chung Hua Kranji, SK Segong dan SMK Bau manakala di Serian ialah SK St Theresa.

Sekolah-sekolah yang ditutup di Padawan pula adalah SK Batu Kitang, SK Rantau Panjang, SK Patung, SK Landeh, SK St Augustine, SK St Matthew, SK St Patrick, SK St Dunstan, SJK(C) Chung Hua Batu Kitang, SK St Gile, SK St Swithun dan SMK Tun Abdul Razak.

Sebanyak enam pusat pemindahan sementara dibuka iaitu di SMK Batu Kawa, SK St Peter Simpok, SK George Punau, SK Siniawan, SK Tanah Merah dan SMK Tebang yang menempatkan 2,081 mangsa banjir merangkumi 516 keluarga.

Menurut Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai penutupan sekolah sekiranya terjejas akibat bencana banjir.

Beliau yang bercakap pada sidang media di sini semalam,  berkata keputusan itu diserahkan kepada pihak-pihak tersebut memandangkan mereka lebih mengetahui keadaan dilokasi.

“Kita sedang pantau keadaan namun kita benarkan pegawai pendidikan, guru besar dan pengetua untuk membuat keputusan mengenai penutupan sekolah sekiranya perlu memandangkan mereka yang berada di lokasi,” katanya.