Tingkat hasil makanan

0
MODEN: Ahmad Shabery (tiga kanan) dan Nogeh (dua kiri) bergambar berlatarbelakangkan kebun jagung manis di TKPM Semenggok.

MODEN: Ahmad Shabery (tiga kanan) dan Nogeh (dua kiri) bergambar berlatarbelakangkan kebun jagung manis di TKPM Semenggok.

MENCUBA: Ahmad Shabery menyembur probiotik ke atas pokok jagung manis sambil disaksikan ketua peserta TKPM Semenggok Alan Wei Hua Fong.

MENCUBA: Ahmad Shabery menyembur probiotik ke atas pokok jagung manis sambil disaksikan ketua peserta TKPM Semenggok Alan Wei Hua Fong.

Enam lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan dibangun di Sarawak, 10 semuanya menjelang 2018.

Oleh Patricia Gari //

KUCHING: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membangunkan enam lagi Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Sarawak menjadikannya 10 menjelang 2018.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek  berkata empat lokasi untuk enam projek tambahan TKPM itu ialah Pejiru (Bau), Sessang (Betong), Kubong (Limbang) dan Hab Halal Tanjung Manis.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menambah lagi bilangan TKPM di Sarawak menjadi 10, ketika ini kita ada empat TKPM iaitu di Semenggok (Kuching), Kabuloh (Miri), Rampangi (Kuching) dan Penipah Mukah.

“Enam TKPM tambahan ini akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat dan dijadual siap sepenuhnya pada 2018.

“Ketika ini TKPM Pejuri, Bau sedang dalam proses pembangunan infrastruktur seperti jalan masuk ke taman, bekalan elektrik dan air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Penggunaan Efektif Mikroorganisme (EM) Secara Skala Besar di TKPM Semenggok, Kuching.

Ahmad Shabery berkata projek itu dibangunkan menerusi kerjasama kerajaan pusat dengan kerajaan negeri bagi membolehkan tanah kerajaan negeri terbiar dibangunkan dengan sektor pertanian khasnya pengeluaran makanan.

Ketika ini terdapat 75 TKPM di seluruh negara  dengan melibatkan 1,200 peserta.

“Kerajaan pusat akan menyediakan peruntukan untuk membangunkan TKPM manakala kerajaan negeri menyediakan tapak yakni tanah.

“Bagi setiap satu TKPM kira-kira RM1.5 juta diperlukan dan kalau 10 kementerian memerlukan lebih kurang RM15 juta kesemuanya,

“Peruntukan ini adalah untuk membersihkan tapak, pembinaan jalan masuk, bekalan air dan elektrik pada kadar minimum, setiapnya mempunyai kos berbeza,” jelasnya.

Menurutnya TKPM akan terus dibangunkan di seluruh negara kerana kementerian percaya negara memerlukan lebih banyak taman pertanian seumpama itu untuk memenuhi permintaan makanan dalam negara khasnya.

Mengenai TKPM Semenggok, Ahmad Shabery berkata ia mula diusahakan 10 peserta terdiri daripada golongan belia di bawah 40 tahun, pada 2015 melibatkan kawasan seluas 54 hektar.

Katanya setiap peserta diperuntukkan tanah seluas empat hingga lima hektar dengan tanaman yang diusahakan seperti sayuran buah, jagung manis, pisang, jambu batu, limau dan jambu air.

TKPM Semenggok yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar raya Kuching juga katanya, merupakan projek perintis skala besar menggabungkan penggunaan mikroorganisme berfaedah (probiotik) dalam pertanian.

“Saya percaya TKPM Semenggok model yang agak baik kerana selain mengeluarkan makanan, peserta sudah ada pasaran dan sebahagian besar adalah pasaran tempatan.

“Kementerian menerusi Jabatan Pertanian Negeri Sarawak akan memantau aktiviti pertanian dilaksanakan oleh para peserta di sini bagi memastikan TKPM ini berjaya menghasilkan produk makanan berkualiti,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai penggunaan probiotik, beliau berkata kaedah itu dapat mengkondisikan tanah, tidak menggunakan bahan kimia sebaliknya organik, termasuk mikroorganisme yang boleh meningkatkan kesuburan tanah, mengekalkan kandungan air dalam tanah dan pada masa sama membantu melawan penyakit bagi tumbuhan ditanam.

“Saya difahamkan di sini penggunaan probiotik membantu peserta mendapat hasil lebih baik berbanding kaedah biasa.

“Saya berharap TKPM akan diperluaskan di kawasan-kawasan lain supaya hasil diperoleh para peserta dapat dipertingkat dan akhirnya petani kita dapat mengeluarkan produk pertanian dengan lebih cemerlang,” ujarnya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Anthony Nogeh Gumbek, Pegawai Pertanian (Bahagian Projek Khas) dan Jabatan Pertanian Sarawak Japaruddin Ali.