12 syarikat PKS Sarawak terima geran berjumlah RM2.56 juta

0

KUCHING: Sebanyak 12 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini menerima geran perniagaan di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) berjumlah RM2.56 juta.

Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Datuk Hafsah Hashim berkata, geran tersebut merupakan 50 peratus daripada jumlah kos projek-projek yang telah diluluskan.

“Antara projek-projek yang bakal dilaksanakan para usahawan BEEP termasuk untuk pembelian mesin dan peralatan, pembungkusan dan promosi produk serta pengubahsuaian premis syarikat.

“Ini juga sebagai galakan kepada usahawan-usahawan ini dalam merealisasikan impian mereka untuk meningkatkan prestasi perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pembiayaan PKS dan Penyerahan Surat Tawaran Geran Program Peningkatan Entreprise Bumiputera di Bilik Santubong, Tingkat 1, Bangunan Bank Negara di sini, kelmarin.

Turut hadir menyaksikan penyerahan geran tersebut ialah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais.

Katanya lagi, pemberian geran itu juga diharap menjadi pemangkin kepada para usahawan Bumiputera negeri ini untuk meningkatkan jualan serta keuntungan syarikat masing-masing.

“Secara tidak langsung, ini juga dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang lebih pesat dan meyakinkan, khususnya dalam era globalisasi mendatang,” jelasnya.

Pada majlis itu, SME Online Business Sdn Bhd turut melancarkan Sarawak SME Online Niaga yang merupakan portal perniagaan kepada para usahawan tempatan Sarawak.

Usaha tersebut dilihat dapat membantu usahawan memperkenal produk mereka menerusi perniagaan atas talian di samping dapat mempergiatkan lagi usaha mengembangkan empayar perniagaan ke peringkat lebih tinggi lagi.

Difahamkan, SME Corp memperoleh peruntukan sebanyak RM30 juta untuk 2016 dan RM4 juta diperuntukkan kepada BEEP Sarawak.