Golongan muda diingat tolak ‘politik samseng’

0
SEMANGAT PEMUDA: Khairy (tengah) dan Fadillah merakam kenangan bersama barisan Pemuda, semalam.

SEMANGAT PEMUDA: Khairy (tengah) dan Fadillah merakam kenangan bersama barisan Pemuda, semalam.

KUCHING: Rakyat Sarawak khususnya golongan muda sekali lagi diingatkan agar menolak ‘politik samseng’ parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia.

Menyuarakan gesaan itu, Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata, BN turut dinasihat oleh pemimpin tempatan negeri agar tidak melakukan perkara sama.

“Di Sarawak, kita sentiasa diberi nasihat dan peringatan termasuk kami dalam BN bahawa politik agresif, politik hasutan, politik serangan peribadi tidak disukai oleh orang tempatan di sini.

“Justeru, kita juga meminta supaya orang muda khususnya agar menolak budaya politik tersebut kerana budaya itu agak sinonim dengan parti tertentu, tetapi bukan parti BN di mana pentas ceramah mereka sarat dengan hasutan, fitnah dan serangan peribadi.

“Politik seperti ini jelas sekali tidak dipelawa untuk bertapak di Sarawak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Bilik Gerakan Jentera Pemuda BN di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan calon BN kerusi DUN Tupong Fazruddin Abdul Rahman.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, sokongan orang muda terhadap kerajaan BN juga harus berdasarkan pencapaian rekod pembangunan selama ini, namun lebih utama ialah perancangan masa depan negeri di bawah kepimpinan BN.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem selama dua tahun memerintah Sarawak telah banyak membuat dasar baharu yang menyenangkan hidup rakyat di negeri ini secara menyeluruh.

“Malah, saya yakin dan percaya beliau mempunyai banyak lagi perancangan yang perlu diselesai dan untuk merealisasikan tujuan itu, beliau amat memerlukan mandat besar dan sokongan kuat daripada rakyat termasuk orang muda kita,” tegasnya.

Mengulas mengenai jentera Pemuda BN, katanya, barisan itu sudah lama bersiap siaga dan bersiap sedia dengan segala kelengkapan fizikal dan mental bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tidak lama lagi.

Jelasnya, beliau turut meluangkan masa beberapa hari sejak berada di bandar raya ini untuk memantau persiapan akhir jentera yang akan digerak bermula esok.

“Semua persiapan awal telah dibuat secara sempurna dan yang penting dan memberi semangat kepada Pemuda kali ini adalah bilangan calon yang begitu ramai dari kalangan Pemuda.

“Kita ada 13 calon yang datang daripada pergerakan pemuda sama ada sebagai ketua pemuda ataupun dalam usia muda, dan ini jelas menunjukkan satu isyarat bahawa satu peralihan generasi sedang berlaku dalam BN,” katanya.