Pelihara keunikan budaya suku kaum Lunbawang

0

Kerajaan sokong Pesta Irau Aco, identiti kaum perlu diwarisi kepada generasi muda: Dr Abd Rahman

Oleh Mastura Ismail //

LAWAS: Pesta Irau Aco yang menjadi identiti suku kaum Lunbawang di negeri ini perlu dipelihara keunikannya agar ia dapat diwarisi turun-temurun kepada generasi akan datang.

Menteri Muda kebajikan dan Kesejahteraan Masyarakat Dr Abdul Rahman Ismail berkata, menyedari kepentingan budaya tersebut kerajaan sentiasa menyokong usaha untuk  memperkasakan kebudayaan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Menurut beliau, kepelbagaian budaya masyarakat di negeri ini yang diterjemah melalui penganjuran pesta merupakan kekuatan Sarawak.

“Walaupun Sarawak memiliki masyarakat berbilang bangsa, agama, keturunan dan budaya namun kita mampu hidup aman dan bersatu padu.

“Keharmonian inilah perlu dipelihara agar dapat diwarisi kepada generasi muda,” katanya pada majlis perasmian Pesta Irao aco Lunbawang Kali Ke-29 di Taman Awam Lawas kelmarin.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, ADUN Ba’ Kelalan Baru Bian, Pengerusi Persatuan Lunbawang Sarawak (PLBS) Ipoi Datan dan jemputan lain.

Dr Rahman yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menjelaskan, keunikan persembahan pancaragam buluh (bamboo band), misalnya, yang sering dipersembahkan setiap kali pesta itu wajar diperturunkan kepada kepada generasi muda hari ini memandangkan pada waktu ini hanya warga veteran sahaja yang ramai berkecimpung dalam pancaragam itu.

ADUN Bukit Kota itu mahu masyarakat Lunbawang untuk terus bersama dengan kerajaan dan mengetepikan perbezaan politik dalam usaha untuk mencapai pembangunan berterusan.

Katanya, masyarakat Lunbawang tidak seharusnya hanya menjadi pemerhati sebaliknya menjadi pemain dan turut serta dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

“Ini sejajar dengan usaha kerajaan yang menumpukan kepada pembangunan di kawasan luar bandar agar jurang perbezaan antara bandar dan pedalaman dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau juga menyatakan penghargaan kepada PLBS kerana berjaya menganjurkan pesta tersebut secara konsisten yang kini telah memasuki tahun ke-29. Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada PLBS. Terdahulu, Henry berkata peningkatan dari segi penganjuran Pesta Lunbawang saban tahun menunjukkan kematangan dan kerjasama persatuan serta masyarakat Lunbawang keseluruhannya.

Justeru, katanya, semangat persefahaman dan bersatu padu adalah penting dalam memastikan kejayaan setiap aktiviti yang dianjurkan.

Pada majlis itu, Henry mengumumkan geran RM20,000 untuk PLBS dan RM10,000 untuk Kumpulan Rolling Thunder yang membuat persembahan pada pesta itu.