Mayat kanak-kanak lemas di Sungai Engkari ditemui

0
TERKORBAN: Mayat mangsa diusung pasukan penyelamat untuk dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

TERKORBAN: Mayat mangsa diusung pasukan penyelamat untuk dibawa ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

LUBOK ANTU: Mayat seorang budak lelaki dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Sungai Engkari berdekatan dengan rumah panjang Ujan Nanga Spaya di sini, berjaya ditemui jam 8.50 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu DSP James Jonathan berkata, mayat mangsa telah dijumpai pasukan SAR pada jam 8.50 pagi semalam.

“Mayat mangsa dijumpai pada jarak 50 meter dari tempat kejadian dan dalam  keadaan sempurna dengan memakai seluar pendek,” katanya kepada Utusan Borneo, di sini, semalam.

Jelasnya, mangsa berusia lapan tahun dikenali sebagai Cryner Casey, mayatnya sampai di jeti Batang Ai pada jam 12.30 tengah hari sebelum dibawa  ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut.

Sebelum  itu kata James, menurut maklumat emak mangsa, kejadian berlaku pada jam kira-kira 1.00 petang semasa mangsa dan tiga rakannya mandi di tepi sungai dan ditemani emaknya.

“Tiba-tiba empat kanak-kanak dibawa arus dan pakcik mangsa kebetulan berada di tepi sungai terus terjun dan hanya mampu menyelamat tiga kanak- kanak sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, operasi SAR antara polis dan penduduk kampung dijalankan sebaik  menerima maklumat Tuai Rumah Ujan jam 1.30 petang hari sama.

Polis terdiri daripada empat orang diketuai Inspektor Demas Yahya (KCKD) telah pergi ke tempat kejadian yang mengambil masa dua jam perjalanan menaiki bot.

Rumah panjang Ujan, Sepaya terletak di hulu Projek Empangan Hidro Batang Ai dan mengambil masa dua jam perjalanan mengguna perahu panjang.

Pasukan mencari dan menyelamat mangsa lemas bergerak ke lokasi dengan menaiki bot BBP dan JPAM terdiri daripada lima anggota bomba, enam anggota JPAM, seorang pegawai dan tiga anggota Polis Diraja Malaysia serta tiga orang juruselam daripada PGM Kuching.

Turut terlibat sama BBP Balai Betong dengan keanggotaan seramai 5 orang diketuai oleh TPgB Mohammad Raffy bin Saibi (Ketua Zon Sri Aman) serta PPgB Vincent Baling (Pegawai Zon Sri Aman).

BBP Sungai Merah (PPDA) dengan keanggotaan seramai tujuh orang diketuai PB Rorudy.