Penunggang maut, motosikal langgar belakang lori ayam

0
TRAGIS: Mangsa maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya melanggar belakang lori.

TRAGIS: Mangsa maut di tempat kejadian apabila motosikal ditungganginya melanggar belakang lori.

KUCHING: Seorang penunggang motosikal terbunuh akibat kecederaan parah apabila melanggar belakang lori muatan ayam hidup di Kilometer 49 Jalan Kuching-Serian, dekat sini.

Dalam kejadian jam12.10 pagi berlaku selepas simpang ke Ensenggei/Pasar Baki Lama itu, mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Alester Sinau dari Kampung Seroban, Serian.

Ketua Polis Daerah (KPD) Serian DSP Chung Aik Peng berkata, ketika kejadian kedua-dua motosikal dan lori tersebut bergerak dari arah sama iaitu menuju arah Serian.

“Apabila sampai di tempat kejadian motosikal datang dari arah belakang hilang kawalan dan terus melanggar sebelah kanan belakang lori membawa muatan ayam hidup.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut motosikal ditunggang mangsa terpelanting ke laluan bertentangan iaitu arah Serian ke Kuching,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, lelaki berusia 26 tahun itu dipercayai maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan patah rusuk sebelah kanan.

Pemandu lori, 46 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.