Bola tampar: Sarawak perlu bangkit

0

Selepas kekalahan mengejut 2-3 ketika menentang skuad Pulau Pinang

// Oleh Watt Zacchaeus //

RAI KEMENANGAN: Liew (barisan depan, empat kiri) bersama pemain-pemainnya meraikan kemenangan ke atas Sarawak dalam acara bola tampar SUKMA XVIII di Sibu semalam.

RAI KEMENANGAN: Liew (barisan depan, empat kiri) bersama pemain-pemainnya meraikan kemenangan ke atas Sarawak dalam acara bola tampar SUKMA XVIII di Sibu semalam.

SIBU: Sarawak perlu bangkit pada perlawanan seterusnya selepas kekalahan mengejut ke atas Pulau Pinang 3-2 dalam acara bola tampar (lelaki) Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) di Stadium Tertutup Bola Tampar Sibu di sini semalam.

Persembahan tuan rumah aksi tersebut sungguh mengecewakan kira-kira 3,000 penyokong yang membanjiri stadium untuk memberikan sokongan padu kepada mereka.

Set pertama, tuan rumah menang dengan 25-21 untuk mendahului 1-0 sebelum disamakan kedudukannya 1-1 oleh pelawat apabila menang set kedua dengan 22-25.

Perlawanan penuh mendebarkan itu dengan sorakan menggamatkan stadium penuh sesak itu kemudian terdiam apabila Pulau Pinang mendahului 2-1 selepas menewaskan Sarawak dalam set ketiga dengan 25-27.

Sedar betapa pentingnya set keempat, pasukan Sarawak kembali menyamakan kedudukan 2-2 selepas menewaskan pelawat dengan 25-20.

Set penentuan aksi terlalu yakin ditunjukkan anak-anak buah Philip Teo memakan diri sendiri apabila mereka tersungkur dengan 15-13 sekali gus membolehkan Pulau Pinang menang 3-2.

“Sesuatu amat gembira hari ini (semalam) apabila pemain-pemain kita yang dibarisi oleh muka-muka baharu berjaya mengatasi skuad elit Sarawak.

“Mereka merupakan pertama kali menyertai SUKMA ini dan dengar apa cakap saya (strategi) dan akhirnya kita menang,” kata jurulatih Pulau Pinang, Liew Koh How ditemui selepas perlawanan semalam.

Jelasnya, mereka tidak menyangka dapat menundukkan Sarawak yang merupakan pasukan pilihan memenangi pingat emas pada temasya SUKMA XVIII ini dalam acara bola tampar.

“Kami bermain tanpa tekanan dan tidak banyak membuat kesilapan. Saya mengarahkan pemain-pemain supaya melakukan serangan dan bertahan justeru akhirnya dapat menghidu kelemahan pihak lawan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendabik dada atas kemenangan ini dan Pulau Pinang mengharungi perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Terengganu pada 23 Julai (hari ini) jam 2 petang.

“Walaupun di atas kertas kita sudah layak ke pusingan seterusnya dengan dua kemenangan dan satu kekalahan. Kita perlu bekerja keras untuk perlawanan esok (hari ini) menentang Terengganu bagi menjamin ke slot seterusnya,” tambahnya.

Sementara itu, Sarawak mempunyai baki dua perlawanan lagi iaitu menentang Johor pada 23 Julai (petang ini) jam 4 petang dan menentang Sabah pada 24 Julai (esok) jam 12 tengah hari.

Sarawak hanya berjaya menewaskan Terengganu dan perlu menang kedua-dua baki perlawanan seandainya berhasrat mara ke peringkat seterusnya untuk menjamin kedudukan mereka.