Remaja 15 tahun maut kemalangan

0

SIBU: Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun maut selepas  terlibat dalam kemalangan di Bulatan Simpang Tiga,  di sini awal pagi semalam.

Mangsa dikenali sebagai Zul Iskandar Mohamad mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan dikejar ke Hospital Sibu oleh ahli keluarga selepas dimaklumkan oleh orang awam pada jam 4 pagi.

Difahamkan, mangsa yang tinggal di Kampung Pa’ Dris di sini dipercayai menunggang motosikal bersama seorang rakan sebagai pembonceng namun tidak dapat dikenal pasti identitinya.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia di wad kecemasan selepas usaha menyelamatnya gagal dan bapa mangsa membuat  laporan polis di Balai Polis Trafik Sungai Merah pada pagi sama.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi memberitahu pihaknya telah menerima satu laporan berhubung kes tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen  41(1) Akta Pergangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya.

Sementara itu, penduduk  tinggal di kawasan berhampiran Simpang Tiga di sini sering terganggu dan merungut tatkala di waktu tidur berikutan bunyi bising dipercayai perbuatan kumpulan mat rempit.

Seorang penduduk hanya mahu dikenali sebagai Zul berkata, bunyi ekzos motosikal sekumpulan mat rempit  berlumba-lumba mengganggu ketenteraman kejiranan itu pada tengah malam.

“Harap pihak berkuasa dapat memantau aktiviti kaki moto di sekitar kawasan berkenaan kerana ia bukan sahaja mengganggu ketenteraman malah mengundang risiko pengguna jalan raya lain termasuk mereka sendiri,” katanya.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki warga tua 67 tahun parah pergelangan kaki kanam di Jalan Hock Ming Wharf malam kelmarin.

Dalam kejadian pada 9 malam itu, mangsa hanya dikenali sebagai Kong sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Bidut.

Semasa menunggang  motosikal mangsa  bertembung dengan motosikal ditunggang seorang lelaki bangsa Iban.

Akibat itu mangsa terjatuh daripada motosikal menyebabkan tulang bahagian bawah betis kanan patah.

Mangsa dihantar ke Hospital Sibu oleh keluarga mangsa yang dimaklumkan oleh orang awam.