Kesatuan main peranan penting menjaga hak dan kebajikan pekerja

0
PENGHARGAAN: Azman (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Majang pada majlis itu semalam.

PENGHARGAAN: Azman (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Majang pada majlis itu semalam.

BINTULU: Kesatuan pekerja memainkan peranan penting menjaga hak dan kebajikan pekerja serta majikan bagi membolehkan kedua-dua pihak mendapat manfaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata hubungan majikan dan pekerja diibaratkan simbiosis amat signifikan memastikan sesebuah organisasi mengekalkan momentum prestasi sekali gus meningkatkan produktivitinya.

“Hubungan erat kedua-dua pihak memajukan industri serta meningkatkan status sosioekonomi pekerja ekoran daya produktiviti tinggi organisasi mereka,” katanya pada Mesyuarat Agung Tiga Tahun Sekali Kesatuan Pekerja-Pekerja Syarikat SESCo Berhad Sarawak di sini semalam.

Sambil menyifatkan barisan kepimpinan setiap kesatuan hendaklah mendapat mandat dan kepercayaan tinggi ahlinya, Majang berpendapat peranan kesatuan terus dikukuhkan dengan adanya kerjasama erat ahli, kepercayaan dan sokongan padu daripada majikan.

“Setiap ahli kesatuan harus mempunyai semangat setia kawan dan sikap ingin maju ke hadapan ke arah mencapai status perkhidmatan proaktif dan cemerlang,” jelas beliau.

Beliau turut menasihatkan ahli-ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Syarikat SESCo (KPPSSBS) mempraktikkan corak kerjasama yang profesional dan proaktif bagi memantapkan kesatuan.

Jelasnya, setiap ahli kesatuan harus peka dengan segala isu atau permasalahan dihadapi bagi memastikan semuanya dapat ditangani dengan baik dan berkesan.

“Setiap ahli harus diberi bantuan sewajarnya layak diterima mereka dan begitu juga majikan hendaklah mempunyai nilai integriti tinggi supaya dapat berlaku adil dalam tindakan dilakukan khususnya mendatangkan kebaikan,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Torstein Sjotveit dan Presiden KPPSSBS, Azman Abdullah.