Kampung Salak berpotensi jadi pengeluar utama madu kelulut

0
BERPOTENSI: Dr Abdul Rahman ketika mendengar penerangan daripada Zaleha semasa mengadakan lawatan di kawasan penghasilan madu kelulut di Kampung Salak, semalam.

BERPOTENSI: Dr Abdul Rahman ketika mendengar penerangan daripada Zaleha semasa mengadakan lawatan di kawasan penghasilan madu kelulut di Kampung Salak, semalam.

KUCHING: Kampung Salak berpotensi menjadi pengeluar utama madu kelulut bagi negeri ini jika ia dapat dilaksanakan secara bersepadu.

Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata hasrat tersebut mampu dicapai sekiranya penglibatan dalam industri desa itu dapat ditingkatkan.

“Diharap penduduk di sini (Kampung Salak) terlibat dengan penghasilan produk madu kelulut kerana ia tidak mustahil bagi kawasan ini untuk menjadi pengeluar utama madu kelulut.

“Setakat ini, belum ada kawasan di negeri ini menjadi pengeluar utama madu kelulut,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog bersama pengusaha madu kelulut di Kampung Salak, semalam.

Menurutnya yang juga ADUN Pantai Damai, Kampung Salak kini mempunyai seramai 30 pengusaha madu kelulut yang bergiat aktif dalam menghasilkan produk kesihatan tersebut sekali gus menjadikan ia sebagai sumber pendapatan keluarga.

Daripada jumlah pengusaha tersebut, Kampung Salak sahaja mempunyai kira-kira 500 kayu (log) yang menempatkan sekurang-kurangnya satu sarang kelulut bagi menghasilkan madu.

Dr Abdul Rahman berkata sekiranya program penghasilan produk tersebut dapat dilaksanakan secara bersepadu, ia mampu memberi manfaat besar kepada pengguna dan pengusaha.

“Kita boleh eksport produk ini ke luar negeri atau negara untuk dipasarkan, namun jika proses itu dapat dilakukan secara bersepadu, malah secara tidak langsung kita dapat memperkenalkan kampung ini sebagai tarikan sektor pelancongan,” katanya.

Apa pun katanya, perkara tersebut akan dibincangkan bersama agensi-agensi berkaitan bagi tujuan pemasaran produk.

Mengulas lanjut, pemilihan penduduk Kampung Salak menghasilkan madu kelulut adalah tepat dalam mempromosikan kawasan pulau yang dihuni lebih 700 penduduk itu.

Dr Abdul Rahman berkata ia turut meningkatkan sektor pelancongan di kawasan Pantai Damai menerusi perusahaan industri desa di samping mengetengahkan pelbagai produk pelancongan lain.

Hadir sama, Ketua Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Jumaini Haili dan Pengerusi Pengusaha Madu Kelulut Kampung Salak Zaleha Adenan.