Wednesday, November 30

Tebar roti canai dengan bersarung tangan tidak logik, kata peniaga

1

SIBU: Seruan pihak berkuasa yang mahu pengusaha makanan menggunakan sarung tangan ketika me-ngendalikan makanan, mendapat reaksi kurang memberangsangkan daripada peniaga roti canai di sini.

Ini kerana penggunaan sarung tangan boleh memperlahankan proses membuat roti canai, selain mendedahkan penebar roti canai dengan risiko terbakar tapak tangan.

“Tidak hanya memperlahankan kita menebar roti canai, ia juga memberikan rasa yang berbeza kepada roti canai. Seperti yang anda lihat, kuali yang digunakan amat panas dan apabila menggunakan sarung tangan, bahang panas dengan mudah dapat meleburkan sarung tangan plastik.

“Apabila itu berlaku, tapak tangan akan terbakar atau cedera, sekali gus menimbulkan kepayahan yang tidak perlu kepada kita,” ujarnya seorang pengusaha restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan berhubung seruan pihak berkuasa yang mahu pengusaha makanan di sini menggunakan pakaian yang sesuai, di samping menggunakan sarung tangan ketika menyediakan makanan.

Seruan itu timbul berikutan pe-ningkatan kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Sarawak.

“Kita berharap orang ramai tidak salah faham. Selama ini kita sedaya upaya menjaga kebersihan. Namun, kita harus ingat penggunaan sarung tangan mungkin tidak sesuai untuk mengendalikan makanan tertentu.

“Namun kita sering menegaskan kepada pekerja terutama penebar roti canai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi setiap masa,” ujar beliau.

Menurut seorang lagi pengusaha restoran, Gunalan Subramaniam, sudah menjadi tradisi bagi membuat roti canai menggunakan tangan kosong.

“Kita setuju bagi pengusaha makanan lain seperti peniaga mi agar menggunakan sarung tangan, namun tidak lojik bagi pembuat roti canai. Setahu saya, tidak pernah saya melihat pembuat roti canai menggunakan sarung tangan,” ujarnya.

Bagi pengusaha seperti mereka, katanya, cara paling berkesan adalah kerap membasuh tangan bagi memberi tanggapan yang baik kepada  pelanggan.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Patrick Tong ketika dihubungi berkata, pihak majlis telah berusaha meningkatkan ke-sedaran dalam kalangan pengusaha makanan agar mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi.

“Kita telah menjalankan pelbagai kursus dan seminar bagi pengusaha makanan dalam meningkatkan ke-sedaran mereka berhubung aspek  kebersihan,” ujarnya.