Projek tukun tiruan akan dibangunkan di Lawas

0

LAWAS: Jabatan Perikanan Sarawak akan melaksanakan projek pembangunan tukun tiruan di perairan daerah ini untuk menyuburkan sumber perikanan di perairan Lawas.

Pengarah Perikanan Laut Sarawak Awangku Isan Pengiran Amjah berkata, tukun tiruan bertindak sebagai serampang dua mata untuk meningkatkan hasil produktiviti ikan dan benteng kepada pencerobohan pukat tunda.

Jelasnya, pelaksanaan projek itu berikutan hasil kajian daripada Institut Penyelidikan Perikanan yang mendapati sumber ikan dan udang di perairan daerah ini yang menunjukkan peningkatan serta antara kualiti terbaik di negara ini.

“Setakat ini, empat jenis tukun telah dilabuhkan di perairan Lawas bermula dengan 6,672 unit tukun tayar pada tahun 1992, diikuti 200 unit tukun bebola, tujuh unit tukun vesel dan 27 unit tukun konkrit jenis dasar lembut.

Manakala, 26 unit tukun konkrit penghalang pukat tunda dilabuhkan pada tahun 2009 dan 2010,” ujarnya pada pelancaran tukun dasar lembut di perairan Lawas di Kampung Punang baru-baru ini.

Hadir sama ialah Ketua Unit Pelesenan Jabatan Perikanan Laut Sarawak Jackson Clive Jusak, ketua-ketua masyarakat dan warga nelayan dari Kampung Punang dan sekitarnya.

Awangku Isan berkata, pelancaran 10 lagi unit tukun tiruan dasar lembut di perairan Lawas pada program itu bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi memastikan nelayan tradisional terus memperoleh pendapatan lumayan.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Laut Sarawak akan menerima peruntukan berjumlah RM2 juta  pada tahun hadapan untuk projek pembangunan tukun tiruan di negeri ini.

“Kita telah mengenal pasti sebanyak empat kawasan iaitu di Kuching, Mukah, Bintulu dan Lawas untuk menjadi lokasi melabuhkan tukun berkenaan.

“Kita berharap agar nelayan dan komuniti nelayan sentiasa bekerjasama dengan jabatan dalam memastikan sumber ikan yang sedia ada terus berkembang dan berkekalan untuk generasi yang akan datang,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Lawas merupakan daerah unik kerana terletak di perairan Teluk Brunei yang berkongsi sempadan perairan dengan negara Brunei,  Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan statistik terdapat sejumlah 1,263 nelayan berdaftar dengan sampan berlesen di negeri ini termasuk  848 buah untuk Daerah Lawas.

“Lawas juga sangat istimewa kerana tidak ada lesen untuk vesel enjin laut dalam yang dikeluarkan Jabatan Perikanan Laut, sebaliknya sampan berenjin sangkut serta menggunakan peralatan tradisional,” katanya.

Secara tradisinya, jelasnya, nelayan di sini tidak turun ke laut pada hari Jumaat dan amalan ini secara tidak langsung menuju ke arah pengurusan perikanan berasaskan komuniti.

Dalam pada itu, Awangku Isa memberitahu pihak jabatan telah mewujudkan pasukan ‘Community Based Fisheries Management’ (CBFM) yang bertindak mewujudkan rangkaian kerjasama pasukan penguat kuasa jabatan dengan nelayan tempatan dalam membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing.

“Melalui konsep yang sama, kita turut menubuhkan ‘Rakan Ikan’ yang menjadi mata dan telinga kepada Jabatan Perikanan untuk membantu membanteras pencerobohan nelayan luar.

“Pada masa sama, seramai 30 orang nelayan dari pangkalan Punang dan Awat-Awat telah menerima tauliah sebagai Rakan Ikan pada program ini,” tambahnya.

Jabatan Perikanan, katanya, juga telah mewujudkan program Pengurusan Perikanan Berasaskan Persekitaran (EAFM) di Daerah Lawas sekali gus yang pertama di negara ini melibatkan agensi serta komuniti untuk bertindak dalam satu pasukan bagi memelihara sumber perikanan di kawasan mereka.