Ibu tunggal, Chow Choon Kee gembira dapat rumah baharu

1

BAHARU: Rumah baharu yang lebih selesa berjaya dibina oleh kumpulan Impian Sarawak DAP Tasik Biru bagi menggantikan rumah usang keluarga Chow.

SEMATAN: Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini amat bererti buat ibu tunggal, Chow Choon Kee bersama dua anaknya Foh Kuet Moi dan Foo Kuet Choi dengan adanya rumah baharu yang telah siap dibina atas ihsan DAP Tasik Biru.

Selama enam tahun ini, ibu tunggal berusia 48 tahun dari Kampung Perigi di daerah kecil ini tidak pernah menyangka akan memiliki sebuah rumah yang begitu sempurna sehingga kedatangan Impian Sarawak yang diketuai oleh Pengerusi DAP Tasik Biru Mordi Bimol.

Pelbagai usaha dilakukan selama ini namun semuanya gagal untuk mendapatkan bantuan sehingga mendorong ahliahli DAP di sekitar daerah ini menyuarakan masalah kepada DAP menerusi Mordi.

Sedih dan terkilan melihat kehidupan daif keluarga ini, satu kempen kutipan derma segera dilancarkan untuk digunakan bagi membantu membina rumah baharu untuk tiga beranak ini.

Menurut Mordi, rumah asas dua bilik seluas 20×30 kaki persegi yang dibina untuk keluarga Chow itu hanya menelan kos kurang daripada RM15,000 hasil sumbangan orang ramai.

Penduduk tempatan bersama 12 sukarelawan Impian Sarawak bekerjasama selama dua minggu untuk menyiapkan rumah tersebut.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial yang berjaya kami laksanakan.

“Kami berharap dapat membantu lebih ramai lagi rakyat yang memerlukan pada masa akan datang.

“Projek Bantuan Rumah (PBR) sebegini seharusnya datang daripada pihak kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

“Tetapi terlalu banyak aduan diterima di mana keluarga yang layak, gagal menerima PBR.

“Dalam erti kata lain ada golongan lain yang lebih diutamakan dan didahulukan,” kata Mordi.

Susulan itu, Mordi memberitahu bahawa dia akan cuba berhubung terus dengan Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh untuk beberapa lagi kes yang telah dikenal pasti yang layak serta wajar diberi perhatian segera.

Beliau berharap Nogeh dapat memberi kerjasama bagi memastikan keperluan rakyat di Mas Gading diutamakan.