Karnival Mesra Belia 2014 di Sri Aman pada 28-30 Apr

0

SRI AMAN: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Bahagian Sri Aman, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman dan Pejabat Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Bahagian Sri Aman akan bergabung tenaga menganjurkan Karnival Mesra Belia 2014 di Tebingan Sungai Batang Lupar selama tiga hari dari 28 hingga 30 April depan.

Penyelaras program menerusi kenyataannya semalam berkata, karnival akan menampilkan Pertandingan Futsal 1Malaysia sebagai acara pembukaan yang akan dikelolakan oleh JBS Bahagian Sri Aman di Stadium Kompleks Sukan Bahagian Sri Aman di sini.

Pada 29 April pula akan diadakan Raptai Penuh Paluan Gendang Melayu pada sebelah pagi manakala pada sebelah petang akan diadakan pentas hiburan termasuk beberapa acara menarik seperti Pertandingan Karaoke @ Ngetas Sora (acara saringan), DJ Vouge, Penyampai Berita dan Pelapor Lokasi yang terbuka kepada semua penduduk Sri Aman.

“Acara ini adalah anjuran pihak RTM Sri Aman manakala pada sebelah malam pula akan diadakan Pertandingan Karaoke Akhir yang juga akan dikelolakan oleh RTM Sri Aman. Ia akan diserikan lagi dengan persembahan muzik jalanan yang akan dikelolakan oleh KPS Sri Aman.

“Turut diadakan pada malam tersebut ialah persembahan pentas termasuk silat belia Sri Aman, persembahan paluan gendang Cina, tarian singa, persembahan paluan ‘pampat Iban’ atau ngajat dan persembahan paluan gendang Melayu.

“Selain itu, turut diadakan rakaman bergendang dan bertandak yang mana acara ini akan dikelolakan RTM Sri Aman dan diterbitkan oleh Muliamee Ahmad bersama penyelaras, Phyllis Lahang,” jelasnya.

Pada pagi 30 April pula akan diadakan Pertandingan Senam Cergas Belia anjuran KPS Sri Aman bermula jam 7.30 pagi manakala Bengkel dan Demonstrasi Bertandak serta cabutan bertuah akan diadakan dari jam 9 pagi hingga jam 1 petang, juga anjuran KPS Sri Aman.

“Bermula jam 2 petang hingga jam 4 petang pula akan diadakan pertandingan muzik jalanan. Kesemua acara selama tiga hari ini nanti akan berlangsung di sekitar Tebingan Sungai Batang Lupar dekat sini,” ujar kenyataan itu lagi.

Justeru, penduduk Sri Aman dijemput hadir bagi bersama-sama memeriahkan acara ini nanti.