Pesara rugi RM3 juta, bomoh enggan serah slip loteri

0

KUCHING: Seorang pesara ditipu seorang bomoh warga Indonesia dengan kerugian RM3 juta apabila dia mendakwa menang loteri.

Mangsa dari Jalan Kuching-Serian, berusia dalam lingkungan 60-an, mendakwa dia memenangi loteri bernombor 664440 dengan nilai belian RM30 pada Rabu lepas dari sebuah premis loteri di Padungan.

Nombor itu dikatakan diperolehi daripada bomoh.

Selepas membeli, mangsa menyimpan kertas loteri itu dengan bomoh sehingga keputusan diketahui.

Pada hari berikutnya, mangsa mendapati nombor loteri itu disenaraikan sebagai antara nombor yang menang.

Sejurus selepas itu, dia berjumpa bomoh itu untuk mengambil slip loteri dengan tujuan hendak menuntut wang kemenangan.

Pesara itu mendakwa bomoh tersebut enggan memulangkan kembali slip loteri dan meminta wang tunai sebanyak RM170,000 sebagai syarat untuk penyerahan.

Mangsa tidak menunaikan terus permintaan bomoh itu. Pada hari berikutnya, pesara tersebut cuba menghubungi telefon bomoh itu tetapi gagal.

Menyedari ditipu, pesara terbabit membuat laporan polis pada Jumaat.