Bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun

0

BINTULU: Seorang bekas pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di sini, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sembilan bulan serta dikenakan tujuh sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.Hukuman itu mengambil kira setiap kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh, iaitu 15 bulan penjara dan satu sebatan bagi setiap kesalahan.

Hakim Ahmad Dzulfadzli Hamdan memerintahkan hukuman itu dijatuhkan ke atas Kiprawi Gani, 39 tahun yang mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan penipuan dan `dishonestly inducing a delivery of property’.

Tertuduh didakwa atas tujuh kesalahan dan semasa penjatuhan hukuman yang dibacakan oleh hakim, tertuduh menangis dan meminta dimaafkan memandangkan ia adalah kesalahan pertamanya.

Kiprawi yang tidak diwakili peguam berkata, beliau menyesal melakukan kesalahan itu dan meminta mahkamah memendekkan tempoh tahanan penjaranya berikutan beliau ada tiga anak yang mana anak yang tua berumur dua tahun dan bongsu berumur empat bulan, di samping isterinya tidak bekerja yang perlu disarakan.

Bagaimanapun mahkamah tetap dengan keputusannya dan menurut hakim, hukuman itu adalah untuk memberi kesedaran kepada orang awam agar tidak melakukan kesalahan yang sama seperti yang dilakukan oleh tertuduh.

Hakim Dzulfadzli turut mengingatkan orang awam yang mana walaupun mengalami masalah kewangan mereka tidak seharusnya melanggar undangundang dan menipu orang lain untuk kepentingan diri.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan di Miri pada 7 September 2009 dan pada masa itu telah pun berhenti bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah syarikat minyak dan gas di sini berikutan tindakannya menyalah gunakan kuasa dan mengeksploitasi orang lain.

Laporan pertama ke atas tertuduh dibuat oleh pengadu pada 14 Ogos 2009 jam 5.30 petang.

Sebanyak tujuh hingga 10 aduan dibuat ke atas tertuduh.

Tertuduh didakwa mengambil kesempatan ke atas mangsanya dengan menggunakan salinan kad pengenalan mangsa tanpa kebenaran untuk memohon pinjaman daripada salah sebuah institusi pinjaman wang.

Semua mangsa pula merupakan kakitangan syarikat minyak dan gas yang sama. Mereka diminta oleh tertuduh yang pada masa itu bekerja sebagai pengawal keselamatan supaya mereka memberikan salinan kad pengenalan bagi memudahkannya membuat pas masuk untuk mereka memasuki premis.

Begitupun, tertuduh sebaliknya menggunakan kuasanya untuk mengambil kesempatan ke atas kad pengenalan mangsa dengan membuat permohonan pinjaman.

Mangsa hanya menyedari diri mereka dieksploitasi oleh tertuduh selepas mereka cuba untuk memohon pinjaman untuk tujuan pendidikan dan perubatan dengan institusi kewangan tetapi mendapati mereka disenarai hitam di bawah CTOS (Credit Tip Off Services).

Menurut CTOS, mangsa telah memohon pinjaman dengan institusi pinjaman wang lain dengan menggunakan nama tertuduh sebagai penjamin.

Namun, pada realitinya mangsa tidak ada memohon mana-mana pinjaman dan selepas mereka dimaklumkan mengenai penjamin adalah tertuduh, mereka akhirnya menyedari bahawa kad pengenalan mereka telah disalahgunakan oleh tertuduh.

Dalam perkembangan lain, Pegawai penyiasat Inspektor Noor Asri Ibrahim berkata, pihak polis percaya ada dalang di sebalik sindiket penipuan itu dan masih memburu dalang penjenayah lain yang terlibat serta masih bebas itu.

Tertuduh juga dipercayai mempunyai hubungan yang baik dengan bekas pengurus syarikat pinjaman wang cawangan Bintulu itu, yang mana turut dipecat dari syarikat itu.

“Bahkan ibu pejabat syarikat pinjaman wang itu tidak mengetahui mengenai transaksi pinjaman itu, yang mana bekas pengurus itu dikatakan mengambil kesempatan ke atas tertuduh dan tertuduh pula mengambil kesempatan ke atas mangsa yang ditipunya,”jelas Asri.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada tahun 2004.

Pegawai pendakwa kes itu ialah Inspektor Mohd Megat Mohd Khairul.