99 peserta ke seminar bahasa di China

0

BESUT: Seramai 99 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pegawai dan guru bahasa dari Malaysia akan menyertai Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu selama tiga hari bermula 12 Jun ini di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China.Seminar anjuran bersama Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) dengan BFSU akan turut disertai penuntut kuliah Bahasa Melayu daripada BFSU dari negara China serta beberapa negara luar termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.

Presiden PPBMM, Profesor Madya Dr Hashim Othman memberitahu Bernama seminar yang pertama kali diadakan di BFSU itu bertujuan membincangkan isu-isu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa asing.

Katanya peserta seminar juga akan membincangkan strategi dan teknik dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu melalui perkongsian pengalaman peserta di peringkat antarabangsa.

Antara tokoh pendidik yang akan menyampaikan ucap tama termasuk Profesor Awang Sariyan, Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China BFSU, Profesor Dr Abdul Rashid Mohamed, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Penyampai lain ialah Profesor Liang Liji, dari Peking Universiti Beijing, Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, Pengarah Peradaban Melayu, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dan Profesor Wu Zong Yu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu BFSU, China.

Dr Hashim menambah seminar yang diadakan di BFSU itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta tempatan dari Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Selangor, Johor dan Sabah yang akan turut menghantar wakil.

Sempena seminar itu juga peserta dari Malaysia akan melancong ke beberapa tempat menarik di China sebelum pulang pada 18 Jun. — Bernama