Kenaikan harga barang dilakukan secara rasional, kata Abang Johari

0

KUCHING: Kenaikan harga barang seperti gula dan bahan api yang diumumkan semalam telah dilakukan secara rasional malah telah pun diselidiki secara terperinci oleh kerajaan sebelum dilaksanakan.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dengan kenaikan harga barang terbabit adalah mengambil kira kepentingan rakyat yang memerlukan bantuan subsidi.

Menurut beliau, secara logiknya kenaikan harga gula sebanyak 25 sen sekilogram mulai semalam merupakan pelarasan harga yang diumumkan kerajaan bagi mengurangkan subsidi barangan terbabit.

“Memang diakui harga gula di negara kita masih terendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain, tetapi pada masa yang sama kerajaan mahu membantu golong miskin dengan mengurangkan subsidi terbabit,” katanya.

Mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kenaikan harga gula dan bahan api sebagai langkah rasionalisasi kerajaan mengurangkan subsidi barangan terbabit, Abang Johari berkata: “Kerajaan mengambil langkah terbaik menyelaraskan harga gula agar tidak terlalu murah dan tidak mahal malah tidak diseludupkan ke negara luar.”

Beliau menambah, memang kenaikan harga gula itu menimbulkan implikasi terhadap kepenggunaan rakyat tetapi memberi keuntungan kepada negara dalam jangka masa panjang.

“Kita juga ambil contoh kenaikan minyak petrol, jika harga minyak kompetitif maka kita mampu memberi subsidi minyak kepada golongan miskin dan sudah tentu tidak membebankan rakyat,” katanya.

Justeru, beliau percaya mekanisme kenaikan harga gula dan petrol itu adalah langkah terbaik kerajaan dalam mengurangkan subsidi malah berlaku adil terhadap rakyat.

“Kita berharap rakyat tidak terkeliru dengan kenaikan harga gula lebih-lebih lagi pada musim perayaan sekarang, kerana kerajaan sememangnya mahu memastikan harga barangan terbabit adalah terkawal,” katanya.